Sekilas
- Nabil Ahmad dedahkan kebanyakan jenaka dan interaksi dalam program besar seperti Big Stage sebenarnya sudah dirancang dan diskripkan bersama rakan pengacara.
- Beliau anggap publisiti, sama ada positif atau negatif, sebagai sebahagian daripada tugas pengacara untuk menarik perhatian penonton dan mempromosikan rancangan.
- Lagu KITA yang dilancarkan menyatukan lebih 20 penyampai radio Astro dari 13 stesen, membawa mesej perpaduan dan patriotisme rakyat Malaysia.
Pengacara dan penyampai radio ERA, Nabil Ahmad mendedahkan kebanyakan jenaka serta interaksi yang dipersembahkan ketika mengendalikan program besar seperti Big Stage sebenarnya sudah dirancang lebih awal.
Menurut Nabil, 42, meskipun ada bahagian dilakukan secara spontan, dia dan pasangan pengacara tetap menyediakan skrip serta berbincang terlebih dahulu sebelum naik ke pentas.
“Kita orang memang buat skrip. Ada skrip.
“Macam saya dengan Elly Mazlein, Sherry, Jihan atau Tok Ram, kita orang buat benda itu. Saya akan tanya, ‘Macam ini okey tak Tok? Sherry macam ini okey tak?’,” katanya.
Nabil berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu KITA sempena Sambutan Hari Kebangsaan di Astro, Bukit Jalil pada Isnin.
Tambahnya, perkara tersebut selama ini dianggap sebagai ‘rahsia’ di sebalik pentas kerana dia mahu penonton merasakan setiap interaksi berlaku secara spontan.
“Sebenarnya itu rahsia atas pentas. Kadang-kadang kena jelaskan juga.
“Saya tak nak bagi tahu benda itu, biar dia jadi ‘magic’. Biar orang ingat, ‘Eh, spontan saja dia ini’.
“Ada yang spontan tetapi kebanyakannya memang ‘scripted’ dan ‘planned’,” ujarnya.
Ujar Nabil lagi, perancangan awal penting kerana setiap pengacara bekerja bersama produksi dan stesen televisyen yang mempunyai garis panduan tersendiri.
“Bila duduk atas pentas, kita kerja dengan produksi dan stesen TV. Mereka pun ada lembaga penapis,” katanya.
Sebelum ini, beberapa gurauan Nabil ketika mengendalikan program hiburan pernah menjadi bualan netizen, ada yang terhibur dan tidak kurang juga melontarkan kritikan.
Bagaimanapun, Nabil mengakui tidak terlalu terkesan apabila setiap tindakannya di atas pentas menjadi perhatian ramai.
Sebaliknya, dia melihat perhatian tersebut sebagai sebahagian daripada tugas seorang pengacara.
“Saya okey sebab sebagai pengacara, saya memang nak ‘attention’ itu.
“Dari dulu lagi saya cuba bila atas pentas, kita kena beri sesuatu yang ada impak, tarikan dan jadi bualan.
“Kalau nak jadi hos, kena beri sesuatu. Orang akan nampak dan bercakap, sama ada perkara baik atau buruk,” katanya.
Bagi Nabil, setiap publisiti yang tercetus selepas sesebuah program turut membantu meningkatkan perhatian terhadap rancangan yang dikendalikan.
“Mana-mana publisiti adalah publisiti yang baik bagi saya.
“Yang terasa itu yang komen-komen. Tapi bagi saya, mereka buat kerja mereka.
“Kalau mereka tak buat benda itu, rancangan kita mungkin tak ‘meletup’. Orang yang tak tahu akan datang tengok rancangan itu minggu depan.
“Kira macam pemasaran juga sebenarnya,” katanya.
Menerusi perkembangan lain, Lagu KITA menghimpunkan lebih 20 penyampai radio Astro Audio termasuk Nabil, Radin, Pak Azad, Roy Azman, Sheera dan Hefny.
Lebih istimewa, projek tersebut menyatukan 13 stesen radio dalam sebuah lagu yang membawa mesej perpaduan, semangat patriotisme dan kebersamaan rakyat Malaysia.