Sekilas
- Nas Amer, kekasih Tiz Zaqyah, mengesahkan persiapan perkahwinan mereka sudah mencapai 50 peratus dan sedang diuruskan bersama.
- Kedua-dua keluarga sudah bersedia sepenuhnya, dan pasangan ini masih dalam proses memilih tarikh dan lokasi majlis.
- Tiz Zaqyah berterima kasih atas doa dan sokongan ramai, serta berharap majlis akan berlangsung tahun depan.
Lelaki dipercayai kekasih kepada pelakon, Tiz Zaqyah iaitu Nas Amer, berkongsi mengenai persiapan majlis perkahwinan mereka yang kini sudah mencapai 50 peratus.
Menurut Nas, persiapan sedang dilakukan secara bersama kerana banyak perkara perlu disusun dengan teliti, termasuk urusan lokasi dan jadual masing-masing.
“Persiapan itu memang kami sedang lakukan bersama.
“Bukan senang nak bina di masjid ni, banyak persiapan nak kena buat dari segi kewangan, kerja dan jadual dia semua,” katanya.
Nas dan Tiz ditemui ketika menghadiri majlis pertunjukan koleksi modest pertama Hatta Dolmat, The Quiet Power, sempena Fashionably Modest Asia 2025 yang berlangsung di Pavilion Arena, Pavilion Damansara Heights malam tadi.
Ujar Nas lagi, dia kini memainkan peranan memastikan Tiz berada dalam keadaan teratur kerana aktres itu sibuk dengan pelbagai komitmen seni.
“Tiz bukan setakat drama dan berlakon saja. Dia ada lagu, ada lukisan… jadi saya kena banyak main peranan untuk tengok masa dia dan push dia juga.
“Dia tak boleh fokus pada satu benda saja, jadi dia tengah kerja keras sangat sekarang—sama juga macam saya,” jelasnya.
Selain itu, Nas turut berkongsi bahawa pihak keluarga kedua-dua belah juga sudah sepenuhnya bersedia.
“Kalau dari segi keluarga, memang dah 100%. Cuma persiapan daripada kami, 50 % dah ready cuma nak pilih tarikh, pilih tempat dan lain-lain.
“Kalau kami dah dapat tarikh, kami akan umumkan. Insya-Allah tahun depan,” katanya.
Sementara itu, Tiz Zaqyah menzahirkan rasa syukur dan terharu apabila ramai mendoakan urusannya dipermudahkan.
“Bergenang sahaja rasa. Terharulah… sebak bila tengok komen semua.
“Sekarang pun dah touching. Kita minta doa daripada semua. Mak ayah restu, so let’s go,” ujarnya.
Sebelum ini, Tiz berkongsi khabar gembira bahawa dia kini sedang merancang untuk menamatkan zaman bujang bersama lelaki pilihannya.