Sekilas
- Menantu sulung wanita yang tular mencium pipi Bella Astillah memohon maaf atas keterujaan ibu mentuanya ketika majlis resepsi di Muar, Johor.
- Permohonan maaf disampaikan melalui panggilan telefon semasa Bella bersiaran langsung di radio ERA, selepas usaha menghubungi melalui Instagram tidak berjaya.
- Bella menegaskan dia tidak mengalami sebarang masalah atau kecederaan dan menghargai usaha keluarga wanita tersebut menghubunginya.
Menantu sulung kepada wanita yang tular mencium pipi Bella Astillah tampil memohon maaf bagi pihak keluarganya atas keterujaan ibu mentuanya ketika bertemu penyanyi tersebut ketika di majlis resepsi ‘Kenduri Rakyat’ di Muar, Johor baru-baru ini.
Permohonan maaf itu disampaikan menerusi panggilan telefon ketika Bella sedang bersiaran langsung di stesen radio ERA.
Menurut pemanggil berkenaan, keluarganya tidak menjangka kejadian tersebut berlaku dan sudah berusaha menghubungi Bella menerusi mesej langsung dalam Instagram.
“Itu adalah mak mentua saya. Kami satu keluarga ingin memohon maaf atas keterujaan mak saya itu.
“Kami pun tak jangka semua ini berlaku. Kami dah cuba nak hantar mesej kepada Bella dalam Instagram tetapi tiada respons.
“Kebetulan saya tengok Bella di ERA, jadi saya telefon,” katanya.
Memberikan respons, Bella menegaskan dirinya tidak mempunyai sebarang masalah dengan kejadian tersebut, malah tidak mengalami kecederaan.
Penyanyi lagu Bersama Aku Setia Selamanya itu turut menenangkan pemanggil berkenaan supaya tidak bimbang dengan keadaannya.
“Tak apa, saya tuan badan okay. Saya tiada apa masalah, tiada kecederaan pun.
“Bagi pihak saya pun mungkin minta maaf, mungkin ada peminat saya yang terlebih prihatin sehingga perkara itu tular,” ujarnya.
Dalam masa sama, Bella menghargai usaha ahli keluarga wanita tersebut menghubunginya untuk menyampaikan permohonan maaf.
“Terima kasih sebab sudi hubungi saya. Bella okay sahaja, sampaikan salam kepada ibu,” katanya.
Sumber: era.je