Sekilas
- Syafiq Farhain kembali dengan single terbaru berjudul Cerita Luka selepas dua tahun tidak mengeluarkan karya baharu.
- Lagu ini menampilkan sentuhan moden slow rock balada dan merupakan kerjasama pertama Syafiq dengan komposer Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh.
- Cerita Luka sudah boleh didengar di semua platform digital sejak 31 Julai, manakala video muzik rasmi akan dilancarkan pada 5 Ogos 2026 di YouTube MVM.
Selepas dua tahun tidak muncul dengan sebarang karya baharu, penyanyi Syafiq Farhain kembali mengubat kerinduan peminat menerusi single terbaharu berjudul Cerita Luka.
Menurut Syafiq, dia terus tertarik dengan Cerita Luka sejak kali pertama lagu itu diperdengarkan kepadanya kerana menampilkan nuansa muzik yang berbeza daripada karya-karya terdahulu.
“Ketika pertama kali mendengar Cerita Luka, saya terus menyukainya. Lagu ini menawarkan kelainan menerusi sentuhan moden slow rock balada dan berbeza daripada lagu-lagu yang pernah saya bawakan sebelum ini.
“Sebenarnya, terdapat 10 lagu terbaik daripada komposer berbeza yang dipertimbangkan. Namun, Cerita Luka paling dekat dengan jiwa saya dan sesuai dijadikan karya untuk menandakan kemunculan semula selepas dua tahun,” katanya.
Pelancaran rasmi single berkenaan berlangsung pada Khamis dengan turut dihadiri Pengarah Pemasaran MVM Music Sdn. Bhd., Ariel Pua.
Diterbitkan di bawah label MVM Music Sdn. Bhd., Cerita Luka merupakan sebuah lagu balada moden hasil ciptaan komposer duo popular, Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh, yang memenangi Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) pada tahun lalu.
Menerusi single ke-12 itu, Syafiq tampil dengan pendekatan muzik yang lebih segar selepas sebelum ini lebih dikenali menerusi lagu-lagu berentak balada era 1990-an.
Cerita Luka juga merupakan kerjasama pertama Syafiq bersama Ikhwan dan Wan Saleh, sekali gus memberikan pengalaman baharu kepadanya dari segi proses rakaman serta pendekatan dalam menyampaikan emosi lagu.
“Ini kali pertama saya bekerjasama dengan Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh. Saya dapat merasakan perbezaan dalam cara mereka bekerja dan membimbing saya untuk mendapatkan penyampaian yang menepati emosi lagu.
“Saya berharap lagu ini bukan sahaja diterima oleh peminat sedia ada, malah dapat memperkenalkan sisi baharu Syafiq Farhain kepada pendengar,” katanya.
Penyanyi yang meraih gelaran naib juara program realiti Big Stage pada 2018 itu turut menyifatkan Cerita Luka sebagai permulaan kepada fasa baharu dalam perjalanan kerjaya seninya.
Selepas pelancaran single tersebut, Syafiq merancang untuk menghasilkan sebuah mini album, selain mengadakan mini showcase pada penghujung tahun ini.
“Cerita Luka adalah permulaan kepada perancangan seni saya selepas ini. Sekiranya semuanya berjalan lancar, saya mahu menghasilkan sebuah mini album dan mengadakan mini showcase pada penghujung tahun.
“Saya berharap peminat akan terus memberikan sokongan dan bersama-sama mengikuti perjalanan baharu ini,” katanya.
Sementara itu, Ikhwan dan Wan Saleh mengakui berasa sedikit berdebar pada peringkat awal memandangkan Cerita Luka merupakan kolaborasi pertama mereka bersama Syafiq.
Namun, proses rakaman berjalan lancar dan berjaya diselesaikan dalam tempoh kira-kira dua jam.
“Pada mulanya kami agak berdebar kerana setiap penyanyi mempunyai gaya dan cara kerja yang berbeza. Namun, Syafiq seorang penyanyi yang mudah bekerjasama serta cepat memahami arahan.
“Proses rakaman berjalan dengan baik dan dapat diselesaikan dalam tempoh dua jam sahaja. Kami berharap Cerita Luka dapat diterima ramai serta meninggalkan kesan kepada pendengar,” kata mereka.
Dalam pada itu, Ikhwan yang juga penulis lirik lagu ini mengakui tertekan untuk menghasilkan sebuah karya baharu selepas kemenangan di AJL39.
“Sejujurnya, saya agak tertekan kerana selepas kemenangan di AJL39 sudah tentu peminat muzik tempatan mengharapkan sesuatu yang lebih baik daripada saya. Selain, saya sendiri meletakkan tekanan atas diri sendiri untuk menghasilkan karya yang lebih baik.
“Soal adakah lagu Cerita Luka adalah material AJL atau tidak? Saya serahkan kepada peminat untuk menilainya. Ini kerana untuk sesebuah lagu itu layak ke AJL bergantung kepada banyak pihak antaranya, label muzik, peminat dan penyanyi itu sendiri. Sebagai komposer dan penulis lirik sudah tentu saya mengharapkan yang terbaik, tetapi pada akhirnya terpulang kepada rezeki,” ujar Ikhwan.
Cerita Luka mula berada di semua platform penstriman digital pada 31 Julai lalu, manakala video muzik rasminya akan ditayangkan buat pertama kali menerusi saluran YouTube MVM pada 5 Ogos 2026.