Sekilas
- Zizi Kirana menasihatkan Haroqs supaya tidak melayan kecaman netizen mengenai kenyataannya tentang kriteria isteri idaman.
- Zizi menegaskan setiap orang ada citarasa sendiri dan pendapat Haroqs tidak perlu dipertikaikan atau dijadikan bahan kecaman.
- Haroqs sebelum ini tular selepas berkongsi ciri-ciri isteri idaman dan menerima sindiran serta kecaman netizen terhadap rupa parasnya.
Penyanyi Zizi Kirana menasihatkan pempengaruh yang juga peserta Global Sumud Flotilla (GSF), Haroqs supaya tidak melayan kecaman netizen berhubung rupa paras serta kenyataannya mengenai kriteria isteri idaman.
Menurut Zizi atau nama lengkapnya Nur Fazelah Mad Tahil, 40, Haroqs pada awalnya mempersoalkan mengapa pendapat peribadinya sukar diterima segelintir pihak.
“Saya beritahu dia jangan dengar cakap netizen dan buat sahaja apa yang dia nak buat. Dia tahu fokus yang mahu dicapai.
“Pasal kenyataan yang dia berikan itu, saya minta dia buat tak tahu sahaja.
‘Langau-langau’ itu memang sentiasa ada di mana-mana. Jangan layan,” katanya.
Zizi berkongsi perkara tersebut selepas pertunjukan fesyen koleksi terbaharu Hatta Dolmat sempena Fashionably Modest Asia 2025.
Selain itu, Zizi turut menegaskan, citarasa atau kriteria isteri idaman Haroqs atau nama sebenarnya Muhammad Hareez tidak seharusnya dijadikan bahan kecaman.
“Dia taklah mengadu, cuma dia macam pelik kenapa orang tak boleh terima pendapatnya.
“Setiap orang ada cita rasa masing-masing. Apa yang bagi dia cantik atau kacak, orang lain mungkin tak sama.
“Jadi saya rasa perkara seperti itu tak perlu sampai dipertikaikan. Tak kacau hidup orang pun, relaks sahaja,” ujarnya.
Terdahulu, nama Haroqs menjadi perbualan hangat selepas tular video temu bualnya yang berkongsi ciri-ciri isteri idaman.
Dia turut menerima kecaman termasuk sindiran terhadap rupa parasnya selepas menyatakan keinginan memiliki isteri yang cantik dan memahami dirinya.