Sekilas
- Pelakon Irfan Zaini mendedahkan keserasian dengan Shweta Sekhon dalam filem TERBANG tidak datang secara semula jadi walaupun mereka sudah kenal sejak sekolah.
- Mereka menghadapi cabaran untuk membina chemistry sebagai pasangan suami isteri kerana hubungan senior-junior dan sering gelak ketika babak romantik.
- Pengarah Chiu Keng Guan meminta mereka luangkan lebih masa bersama untuk mendalami watak, dan hasilnya watak Ajeet dan Lisa berjaya dibawakan dengan baik dalam filem tersebut.
Pelakon Irfan Zaini mendedahkan keserasian bersama Shweta Sekhon dalam filem TERBANG bukan sesuatu yang hadir secara semula jadi meskipun mereka sebenarnya sudah mengenali satu sama lain sejak zaman persekolahan.
Menurut Irfan, Shweta merupakan juniornya di sekolah sehingga dia sukar membayangkan aktres itu sebagai isterinya dalam filem berkenaan.
“Itulah yang kelakarnya sebab dalam filem ini saya rasa dengan Mikael, budak kecil tu pun saya dah ada chemistry. Dengan Shweta saja saya tak ada chemistry.
“Dari hari pertama memang ‘off’ chemistry kami sampai pengarah cakap, ‘Lagi dua minggu dah nak shoot, chemistry korang tak jadi-jadi lagi’,” katanya.
Jelas Irfan, hubungan lama mereka sebagai senior dan junior menjadi antara cabaran untuk menghidupkan watak Ajeet dan Lisa sebagai pasangan suami isteri.
“Sebab asalnya dia junior sekolah saya. Jadi saya tengok dia sebagai budak sekolah, macam budak kecil. Saya tak boleh nak bayangkan dia sebagai bini saya.
“Bila nak buat babak romantik atau nak rapat dengan dia, tak jadi. Kami asyik gelak,” ujarnya.
Malah, mereka pernah cuba ‘berpura-pura’ mempunyai perasaan terhadap satu sama lain bagi mendapatkan keserasian diperlukan, namun usaha tersebut dapat dibaca pengarah Chiu Keng Guan.
“Kami pernah cakap, ‘Jomlah kita fake it, buat-buat macam memang suka’. Tapi Mr. Chiu tahu. Kalau kita tipu, dia tahu,” katanya.
Disebabkan itu, Chiu meminta kedua-duanya meluangkan lebih banyak masa bersama termasuk menjalani latihan dan berbual sebagai pasangan suami isteri bagi membantu mereka mendalami watak masing-masing.
“Dia bagi kami luangkan lebih masa, training dan duduk bercakap sebagai suami isteri.
“Dia buat saya percaya saya adalah Ajeet, dia adalah Lisa dan ini isteri saya. Saya rasa itu antara kaedah yang Mr. Chiu gunakan.
“Mungkin apa yang saya cerita ini sedikit saja tetapi banyak lagi kerja di belakang. Bila saya tengok hasilnya, saya rasa watak itu menjadi,” jelasnya.
Dalam TERBANG, Irfan membawakan watak Ajeet manakala Shweta sebagai Lisa, pasangan suami isteri yang melalui pelbagai cabaran dalam kehidupan dan dunia sukan rali.
Filem arahan Chiu Keng Guan itu diinspirasikan daripada perjalanan legenda rali negara, Karamjit Singh selain turut dibintangi Zizan Razak, Jack Tan, Nam Ron dan Diana Danielle.
TERBANG kini sedang ditayangkan di pawagam seluruh negara termasuk dalam format 4DX.