Sekilas
- Pelakon Rita Rudaini berkongsi rasa rindu dan kasih sayang terhadap arwah abangnya, Ahmad Musyaiful Mokhtar, yang menjaga anak-anaknya seperti anak sendiri.
- Rita meluahkan kesedihan kerana tidak sempat bersama abangnya sebelum pemergiannya dan mengenang kebaikan serta sifat lembut arwah.
- Ahmad Musyaiful meninggal dunia selepas rebah ketika menjalankan tugas bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Kelana Jaya.
Pelakon Rita Rudaini meluahkan rasa kerinduan terhadap arwah abangnya, Ahmad Musyaiful Mokhtar.
Menerusi perkongsian di Instagram, Rita mengenang kasih sayang abangnya yang selama ini turut menjaga anak-anaknya seperti anak sendiri.
“Rindu… Allah lebih mengetahui. Rindu ini melebihi apa yang mampu diungkapkan dengan kata-kata. Sehingga kita bertemu lagi.
“Orang janji akan jaga anak-anak ka hingga akhir hayat orang, macam mana ka jaga anak-anak orang,” tulisnya.
Dalam hantaran berasingan, Rita meluahkan rasa kehilangan dan terkilan kerana tidak sempat tiba sebelum pemergian abangnya.
“Rindu sangat. Kenapa ka tinggal orang? Ka tak tunggu orang sampai dulu.
“Ka abang orang paling baik, hati paling lembut. Dengar cakap mama, berbanding orang suka menjawab.
“Ka anak paling baik, tak suka susahkan kami. Ka ada bila orang perlu,” kongsinya.
Menurut Rita, Allahyarham tidak pernah membezakan layanan terhadap anak-anaknya, malah sentiasa memberikan perhatian serta kasih sayang kepada mereka.
“Ka layan dan jaga anak-anak orang macam anak ka sendiri. Ka tak pernah pilih kasih. Orang bangga ada abang macam ka.
“Selamat jalan ke negara abadi, selamat pulang kepada kekasih abadi. Orang rindu ka sangat-sangat,” tulisnya lagi.
Terdahulu, Ahmad Musyaiful, 51, menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 1.46 pagi Ahad lalu di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Allahyarham difahamkan meninggal dunia selepas rebah ketika menjayakan satu program membabitkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Kelana Jaya.