Skip to main content

Viral

"Keputusan Ini Pahit, Terpaksa Kami Terima" - Dolla Mohon Maaf, Akan Kembali Dengan Konsert Lebih Besar Tahun Depan

dolla

Sekilas

  • Kumpulan Dolla mengumumkan pembatalan konsert Good Girls Gone Bad kerana penganjur gagal melengkapkan permit dan kelulusan wajib sebelum tarikh acara.
  • Persiapan konsert sudah hampir lengkap, namun kekangan teknikal memaksa mereka membatalkan acara dan menjanjikan konsert penuh tahun depan serta sesi bertemu peminat pada 6 Disember.
  • Pembatalan konsert berlaku selepas kontroversi penampilan seksi Dolla dalam muzik video Question, yang mendapat perhatian pihak berkuasa agama dan penganjur berjanji memulangkan bayaran tiket secepat mungkin.

Kumpulan Dolla akhirnya tampil menjelaskan punca pembatalan konsert Good Girls Gone Bad, sekali gus meredakan tanda tanya para peminat yang masih keliru dengan keputusan mengejut itu.

Menerusi kenyataan di Instagram, kumpulan tiga anggota itu mengesahkan bahawa konsert terpaksa dibatalkan selepas penganjur gagal melengkapkan permit dan kelulusan wajib sebelum tarikh acara.

“Kami mohon maaf setulus hati kepada semua iDollas. Ramai menanti konsert ini, kami pun sama.

"Kami tak sanggup berdepan keadaan di mana konsert dibatal dua atau tiga hari sebelum berlangsung. Itu lebih memalukan. Jadi keputusan ini walaupun pahit, terpaksa kami terima,” ujar mereka.

Menurut Dolla, persediaan konsert sebenarnya sudah berada di fasa akhir. Dari aspek visual, koreografi, muzik, hingga latihan intensif yang dijalankan berbulan-bulan, semuanya sudah hampir lengkap.

Namun, kekangan teknikal berkaitan penganjur memaksa mereka mengambil keputusan yang tidak diingini.

Bagi menghargai sokongan iDollas, Dolla mengumumkan sesi bertemu peminat pada 6 Disember, selain berjanji akan kembali dengan sebuah konsert lengkap pada tahun hadapan.

“Kami sudah curahkan tenaga dan jiwa untuk pastikan pentas itu jadi yang terbaik. Tapi keadaan tak mengizinkan. Kami rindu nak jumpa peminat. Tahun depan, kami akan kembali dengan persembahan besar yang benar-benar berbaloi ditunggu.

"Jangan risau. Penganjur akan pulangkan semua bayaran secepat mungkin. Kami pastikan prosesnya lancar,” kata mereka.

Pembatalan konsert itu berlaku tidak lama selepas Dolla menjadi tumpuan susulan teguran pendakwah bebas, Ustazah Asma’ Harun, berkenaan penampilan seksi mereka dalam muzik video Question.

Teguran tersebut turut menarik perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, yang mempertimbangkan penilaian tindakan syariah terhadap selebriti Islam berpakaian mencolok mata.

Beliau juga mengarahkan semakan semula garis panduan pemakaian artis Muslim dalam industri hiburan.

 

 

View this post on Instagram

 

 

 

 

A post shared by DOLLA (@dolla.official)

 

Dalam pada itu, Universal Music Malaysia menjelaskan bahawa mereka sentiasa mengambil kira sensitiviti masyarakat dan memahami keresahan yang dibangkitkan.

Must-Watch Video

Advertisement