Sekilas
- Nadhir Nasar menganggap filem Goreng sebagai pengalaman baru kerana berpeluang membawa watak lelaki berusia 30 tahun yang sesuai dengan usia sebenar dirinya.
- Watak Nas yang dibawa Nadhir digambarkan serius dan menghadapi konflik yang dekat dengan realiti kehidupan masyarakat.
- Filem Goreng diarahkan oleh Raihan Halim dan dijangka ditayangkan pada tahun 2027, menampilkan pelakon seperti Sky Iskandar dan Amelia Henderson.
Pelakon, Nadhir Nasar menyifatkan filem Goreng sebagai satu pengalaman baharu buat dirinya apabila berpeluang membawakan watak lelaki berusia 30 tahun yang bersesuaian dengan usia sebenarnya.
Menurut Nadhir, sebelum ini dia lebih kerap diberikan watak lelaki berusia sekitar 25 tahun dan peluang membawa karakter yang bersesuaian dengan usia sebenar membuatkan dia melihat lakonannya daripada perspektif berbeza.
“Saya belum pernah lagi membawakan watak sebegini kerana ini merupakan kali pertama diberikan watak yang pengarahnya kata saya berumur 30 tahun, iaitu usia sebenar saya.
“Sebelum ini, saya sering diberikan watak lelaki berusia sekitar 25, 26 tahun. Jadi, inilah masanya untuk saya berdepan dengan realiti dan membawakan karakter yang bersesuaian dengan usia sendiri.
“Saya rasa sudah tiba masanya untuk saya mengembangkan lagi hala tuju kerjaya sebagai seorang pelakon juga,” katanya kepada Gempak.

Berkongsi lanjut mengenai karakternya sebagai Nas, Nadhir berkata watak itu digambarkan sebagai seorang lelaki berperwatakan agak serius dan berdepan beberapa konflik tersendiri.
Malah, Nadhir juga menyifatkan Goreng sebagai sebuah naskhah yang dekat dengan kehidupan masyarakat kerana mengetengahkan kisah serta permasalahan yang boleh dikaitkan dengan realiti kehidupan penonton.
“Bagi saya, Goreng merupakan salah satu naskhah yang sangat dekat dengan masyarakat. Saya membawakan watak Nas.
“Nas adalah seorang lelaki yang sedikit serius dan berdepan beberapa permasalahan yang saya rasakan boleh dikaitkan dengan kehidupan masyarakat di luar sana.
“Saya rasa itulah antara perkara paling menarik tentang karakter yang saya bawakan,” ujarnya.
Diarahkan oleh Raihan Halim, Goreng dibintangi oleh Sky Iskandar, Nadhir Nasar, Chech Harith, Tony Eusoff dan Amelia Henderson.
Goreng dijadualkan bakal ditayangkan pada tahun 2027.