Sekilas
- Nadeera Zaini memilih imej serba hitam untuk promosi lagu terbaharunya, Coba Jadi Aku, sebagai simbol keberanian dan kebangkitan wanita.
- Warna hitam dipilih bukan sekadar fesyen, tetapi membawa mesej empowerment wanita yang tersakiti untuk bangkit semula.
- Walaupun memakai hitam sepanjang promosi lagu ini, Nadeera akan bereksperimen dengan warna lain untuk persembahan dan acara lain.
Bukan tiada warna lain yang sesuai namun penyanyi, Nadeera Zaini memilih untuk tampil dengan imej serba hitam untuk mempromosikan lagu terbaharunya, Coba Jadi Aku.
Menurut Nadeera, pemilihan warna hitam bukan sekadar pilihan fesyen, sebaliknya mempunyai makna tersendiri yang selari dengan mesej yang ingin disampaikan menerusi lagu berkenaan.
“Kenapa saya pakai warna hitam sebab bagi saya ia adalah satu tema untuk promosi lagu baharu saya, Coba Jadi Aku.
“Mungkin di luar sana orang memandang warna hitam lebih kepada kesedihan, tapi bagi saya warna hitam ini melambangkan keberanian dan kebangkitan.
“Jadi saya membawa tema women empowerment. Saya nak wanita di luar sana yang tersakiti bangkit,” katanya kepada Gempak.
Nadeera juga berkata, konsep tersebut juga mempunyai kesinambungan dengan karya terdahulunya, Bukan Lagi Kita, yang turut membawa mesej mengenai kekuatan diri dan kebangkitan selepas melalui pengalaman yang menyakitkan.
“Ya, sebenarnya tema ini sama dengan Bukan Lagi Kita sebab macam saya cakap, ia membawa kepada kebangkitan. Sebab itu saya memilih warna hitam sebab ia lebih sinonim untuk rasa itu,” ujarnya.
Bagaimanapun, menurut pelantun lagu Emas itu dia tidak akan terikat dengan warna tersebut untuk setiap persembahan atau acara lain kerana masih mahu bereksperimentasi dengan pelbagai warna dan gaya.
“Saya akan pakai baju warna hitam sepanjang promosi ini, tapi untuk show-show lain saya tak adalah guna hitam, ada sahaja warna lain. Hitam pun warna juga,” katanya lagi.
Terdahulu di media sosial, nama Nadeera menjadi bualan selepas ada pihak yang mempersoalkan mengapa penyanyi itu sering mengenakan busana rona hitam ketika muncul membuat persembahan di mana-mana majlis.