Anggota kumpulan Floor 88, Eric Fuzi meluahkan rasa kecewa apabila ada pihak yang didakwa culas untuk menyelesaikan bayaran meskipun kerja sudah disempurnakan.
Jelas Eric atau nama sebenarnya Muhamed Eric Muhamed Fuzi, 32, situasi itu memberi kesan besar terhadap dirinya terutama dalam menampung komitmen bulanan termasuk perbelanjaan asas serta kos operasi.
“Nampak sahaja buat persembahan sana sini, penggambaran sana sini tawaran banyak.
Tapi bulan ini kos overhed tak lepas sebab bayaran masih tertangguh.
Jangan nak persoalkan masa simpanan, semua dah habis digunakan di tempat lain,” katanya menerusi satu perkongsian di Threads.
Pemain keyboard kumpulan popular itu turut menegaskan bahawa simpanan peribadi yang dimiliki sebelum ini sudah habis digunakan untuk menampung pelbagai kos lain.
Lebih mengecewakan, Eric mendedahkan ada pihak yang juga rakan usahawan turut berhutang dengannya, namun sehingga kini masih memilih untuk berdiam diri.
Advertisement
“Kerja sudah dilaksanakan. Mengapa perlu ditangguh-tangguhkan lagi? Bayarlah.
“Itu belum lagi termasuk yang berhutang dengan kedai saya. Senyap sahaja,” katanya tanpa memperincikan jumlah sebenar hutang tersebut,”tegasnya.
Untuk rekod, Eric sebelum ini pernah berkongsi mengenai cabaran yang dihadapi perniagaan Masok Foodcourt, projek usahawan bersama beberapa anggota Floor 88 lain.
Premis yang terletak di Kampung Baru, Kuala Lumpur itu diwujudkan sebagai inisiatif menjana pendapatan alternatif buat mereka dalam kumpulan, khususnya ketika industri hiburan terjejas teruk akibat pandemik.
Namun, Foodcourt berkenaan tidak terlepas daripada berdepan isu kewangan serta kekurangan aliran tunai untuk menampung operasi.