Kes perceraian penyanyi Nubhan dan isteri, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek masih belum selesai selepas Mahkamah Rendah Syariah Sepang menetapkan tarikh 2 Disember depan untuk perbicaraan pertama.
Hakim Tuan Muhamad Nazri Basrawi berkata, mahkamah meneliti kedua-dua isu yang dibangkitkan iaitu mengenai lafaz talak pertama pada 2017 dan rujuk yang tidak dilaporkan serta lokasi tempat tinggal Nubhan selaku plaintif.
Advertisement
“Untuk isu pertama, mahkamah boleh untuk membenarkan kes pengesahan cerai untuk kedua-dua lafaz yang dilakukan (pada 2017 dan 26 Ogos 2025).
“Mahkamah meminta pihak plaintif memasukkan satu peruntukan baharu iaitu di bawah Seksyen 52 supaya ada merit untuk diteruskan.
“Isu kedua, berkaitan isu bidang kuasa dan alamat plaintif. Berdasarkan surat permastautinan yang disahkan, ketua kampung Mukim Dengkil, Daerah Sepang mengesahkan Nubhan tinggal di alamat yang dinyatakan.
“Mahkamah melihat lokasi kawasan tempat tinggal itu dan mahkamah ada bidang kuasa berdasarkan surat akuan itu,” katanya.
Peguam yang mewakili Afifah, Datuk Akberdin Abdul Kader berkata, pihaknya akur dengan keputusan mahkamah dan matlamatnya adalah untuk memastikan proses ini berjalan lancar.
“Mahkamah memutuskan boleh mendengar permohonan cerai di luar mahkamah bagi kedua-dua lafaz serta rujuk sekali. Mahkamah membenarkan dan tiada masalah.
“Kita akur bahawa talak itu di tangan suami. Isunya ialah mengapa talak yang lama tidak didaftarkan sebelum ini dan rujuk dilakukan selepas itu.
“Hakim menyatakan tidak mengapa, dua campur satu, rujuk juga boleh difailkan di sini. Turut dimasukkan Seksyen 52 berkenaan rujuk, jadi kita akan teruskan di sini,” ujarnya.
Mengenai isu bidang kuasa mahkamah berdasarkan lokasi tempat tinggal Nubhan yang kononya didakwa tinggal di Cyberjaya, pihaknya menyerahkan kepada mahkamah.
“Mengenai isu bidang kuasa, anak guam saya terkejut kerana selama ini mereka tinggal di Seremban dengan alamat yang sama.
“Tetapi alamat pihak sana ditukar ke kawasan Cyberjaya kononnya sudah menetap di sana hampir dua tahun. Jadi, hakim berpendapat dan membenarkan kes diteruskan di sini.
“Berdasarkan anak guam saya, rumah itu sebenarnya rumah sepupu plaintif, bukan atas nama dia pun. Kalau dia ada satu lagi rumah di sini, tidak mengapa, tetapi sepanjang ini memang tinggal di situ sehingga 26 Ogos, iaitu ketika lafaz dibuat.
“Justeru, perkara itu dibawa ke perhatian mahkamah, namun kerana surat yang dikemukakan adalah sah, maka pada peringkat ini kita tidak membawa kepada rayuan atau apa-apa tindakan lanjut,” jelasnya.
Terdahulu, industri hiburan dikejutkan berita perceraian pasangan Nubhan dan Afifah yang khabarnya, lafaz talak dilakukan dalam kereta pada 26 Ogos 2025.
Sekadar rekod, Nubhan dan Afifah Hidayah yang juga seorang doktor gigi mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015 selepas hampir setahun bertunang.
Perkahwinan mereka diserikan dengan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8; Ahmad Aaffan, 6, serta Afzan Nayille yang berusia tiga tahun.