Sekilas
- Setiausaha Agung SENIMAN, Hafiz Nafiah, menggesa mangsa gangguan seksual dan pedofilia dalam industri perfileman untuk membuat laporan rasmi kepada persatuan bagi tindakan lanjut.
- Hafiz mengakui isu gangguan seksual memang wujud dalam industri sejak lama dan menegaskan pentingnya bukti kukuh sebelum membuat tuduhan.
- Beliau memberi amaran keras kepada penggiat seni agar tidak melakukan perbuatan jenayah terutama yang melibatkan kanak-kanak dan berjanji akan mempertahankan mangsa yang berani tampil.
Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Hafiz Nafiah memandang serius berhubung isu gangguan seksual serta perbuatan berunsur pedofilia yang didakwa dilakukan segelintir penggiat industri perfileman.
Hafiz yang cakna mengenai berita tular melibatkan seorang pelakon yang mendakwa dirinya pernah menjadi mangsa gangguan seksual serta pedofilia, menggesa agar pelakon tersebut membuat laporan kepada SENIMAN.
“Dalam SENIMAN kita mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang jelas. Individu berkenaan perlu datang dan membuat laporan.
“Laporan bertulis itu akan menjadi benteng atau pertahanan. Maksudnya, kita tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan tanpa bukti yang kukuh.
“Kita perlu berhati-hati supaya tidak membuat tuduhan tanpa asas. Jadi, individu berkenaan perlu datang berjumpa dengan pihak SENIMAN atau sekurang-kurangnya menghubungi kami untuk berbincang.
“Dia perlu membuat laporan bertulis kepada SENIMAN supaya kami boleh menentukan langkah seterusnya. Dalam isu ini, ia memang serius kerana kami juga dimaklumkan individu sama bukan terlibat sekali, tetapi berkali-kali,” katanya kepada Gempak.
Tambah Hafiz yang juga merupakan penerbit dan pengarah, segala bukti yang dimiliki sekiranya mangsa membuat laporan boleh dijadikan sebagai bahan sokong bagi menguatkan lagi dakwaan.
“Mungkin ada bukti seperti perbualan WhatsApp, gambar atau bukti lain yang berlaku di lokasi tertentu. Kita tidak tahu selagi laporan rasmi belum dibuat.
“Jika laporan itu ada, mungkin saya boleh mengulas dengan lebih lanjut. Buat masa ini, apa yang boleh saya katakan hanyalah, datang ke pejabat atau hubungi saya supaya proses ini dapat dilakukan secara formal,” ujarnya.
Mengulas lanjut, sebagai seorang yang mempunyai pengalaman lebih dua dekad dalam industri, Hafiz tidak menafikan kes seperti ini tidak berlaku.
“Saya tidak menafikan apa yang didedahkan oleh individu terbabit. Perkara ini memang berlaku, malah masih berlaku sehingga hari ini.
“Pada zaman saya dahulu, ketika saya mula meningkat dalam industri, perkara seperti ini juga berlaku, cuma tidak viral.
“Zaman dulu bukan zaman media sosial. Ada yang bercakap secara terang-terangan, ‘kau nak berlakon? Jom check-in.’ Bukan sahaja lelaki dengan lelaki, malah lelaki dengan perempuan juga berlaku.
“Saya sudah lebih 25 tahun dalam industri ini dan pernah melalui situasi sedemikian. Ada juga yang cuba mengambil kesempatan terhadap saya, walaupun saya lelaki. Jadi perkara ini memang wujud,” katanya.
Dalam pada itu, Hafiz menitipkan pesan buat penggiat seni agar sentiasa berwaspada dengan sebarang tindakan kerana boleh dikenakan hukuman berat jika disabitkan kesalahan.
“Saya selalu berpesan, dalam apa jua kes jenayah, terutamanya yang melibatkan kanak-kanak, kita perlu bersyukur kerana masih bebas menjalani kehidupan biasa. Sekali terpalit dengan kes seperti ini, apatah lagi di bawah Akta Kanak-Kanak, kesannya sangat berat.
“Kepada sesiapa di luar sana, khususnya penggiat seni, jika ada niat untuk melakukan perkara menjijikkan ini, hentikan. Lelaki yang mengambil kesempatan terhadap kanak-kanak adalah sesuatu yang sangat menjijikkan dan saya sangat menghina perbuatan seperti itu.
“Saya tidak akan berkompromi. Jika ada artis atau bakat muda yang menjadi mangsa, saya akan mempertahankan mereka. Golongan ini selalunya hanya mahu mencari peluang dalam industri secara betul, tetapi ditekan dengan cara yang salah,” katanya lagi.
Terdahulu, seorang pelakon tampil membuat pendedahan mengejutkan apabila mendakwa pernah diliwat seorang pengarah yang mempunyai hubungan persaudaraan dengannya ketika di zaman kanak-kanak.
Pelakon yang pernah membintangi drama Diari Ramadhan Rafique itu turut mendakwa, selama ini dia memilih untuk berdiam diri demi menjaga hubungan kekeluargaan.