Sekilas
- Khairul Aming menyerahkan kes kebocoran data peribadinya kepada peguam selepas maklumat bil telefon miliknya tular di media sosial.
- Beberapa laporan rasmi telah dibuat termasuk kepada MCMC, polis, JPDP, dan surat tuntutan dihantar kepada Maxis.
- Maxis memohon maaf, mengenal pasti individu terlibat, dan MCMC akan mendapatkan laporan penuh berhubung insiden tersebut.
Usahawan dan pempengaruh terkenal, Khairul Aming menyerahkan sepenuhnya kes kebocoran data peribadinya kepada peguam selepas maklumat bil telefon miliknya tular dalam media sosial baru-baru ini.
Menerusi perkongsian di Threads, Khairul atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman memaklumkan beberapa tindakan undang-undang sudah diambil bagi memastikan pihak bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.
“Peguam saya telah pun hantar surat tuntutan (LOD) kepada Maxis.
“Laporan rasmi telah dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk membuka siasatan ke atas pelaku.
“Laporan kebocoran data juga telah dibuat kepada Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP),” katanya.
Menurut Khairul, kes tersebut kini akan dikendalikan sepenuhnya oleh pasukan peguamnya sehingga selesai.
“Peguam-peguam saya akan ambil alih kes ini sehingga selesai.
“Sejujurnya saya rasa sedih dan seram sebab semudah itu sahaja privasi hidup boleh hilang.
“Butiran telefon, sejarah pembayaran, langganan, sehinggalah nombor kad pengenalan yang boleh digunakan untuk akses MySara, semuanya bocor,” katanya.

Sebelum ini, Khairul meluahkan rasa terkejut apabila seorang pengguna media sosial mendedahkan maklumat bil telefon peribadinya selepas meninggalkan komen mendakwa dia mempunyai tunggakan bil di Threads.
Susulan insiden itu, syarikat telekomunikasi Maxis tampil membuat permohonan maaf dan memaklumkan pihaknya telah mengenal pasti individu yang dikaitkan dengan kebocoran maklumat tersebut.
Maxis turut memberi jaminan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap individu berkenaan selaras dengan siasatan dalaman yang sedang dijalankan.
Malah, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mendapatkan laporan penuh berhubung dakwaan kebocoran data peribadi pempengaruh terkenal, Khairul Aming yang tular di media sosial.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil memaklumkan, dakwaan berkenaan telah menimbulkan kebimbangan yang memberi gambaran terdapat individu tidak sepatutnya mempunyai akses kepada maklumat peribadi serta sistem inventori milik sebuah syarikat telekomunikasi.
Sumber: Threads