Sekilas
- Pelakon Salina Saibi menafikan dakwaan mengaitkan dirinya dengan kes seorang pelakon drama kepolisan yang ditahan disyaki positif dadah.
- Salina terkesan dengan spekulasi netizen yang mengaitkan namanya tanpa usul periksa dan menegaskan dia sentiasa menjaga reputasi selama lebih 20 tahun dalam industri seni.
- Pelakon wanita yang sebenar ditahan bersama 17 individu lain dalam serbuan di pusat hiburan, namun telah dibebaskan dengan jaminan polis dan siasatan masih berjalan.
Pelakon Salina Saibi tampil menafikan dakwaan mengaitkan dirinya dengan kes seorang pelakon drama kepolisan yang ditahan selepas disyaki positif dadah di sebuah pusat hiburan di ibu negara, semalam.
Kata Salina, dia terkesan apabila ramai netizen membuat andaian sehingga mengaitkan namanya tanpa mendapatkan kepastian terlebih dahulu.
“Netizen ini ramai keliru dan terus ‘judge’ saya tanpa usul periksa.
“Jangan main cakap membabi buta. Kalau tak tahu cerita sebenar, lebih baik diam daripada buat sebarang spekulasi atau berunsur fitnah.
“Dunia ada undang-undang, akhirat ada perhitungan,” katanya ketika dihubungi Gempak.
Pelakon yang sinonim dengan watak ASP Salina dalam drama Gerak Khas itu berkata, insiden tersebut menyebabkan ahli keluarga, peminat dan rakan-rakan menghubunginya kerana bimbang dengan khabar angin yang tular.
“Memang terkesan sangat. Keluarga, peminat dan ramai sahabat telefon bertanya sampai telefon ‘jam’, sedangkan saya sibuk.
“Tapi saya anggap itu tanda mereka sayang dan risau apa yang jadi pada ASP Salina. Terima kasih semua,” katanya.
Tambahnya, dia amat sedih apabila namanya dipalitkan dengan isu dadah selepas lebih 20 tahun menjaga reputasi dalam industri seni.
“ASP Salina nama dipetik dituduh terlibat dengan dadah. Musuh negara. Ngeri kot, paling saya benci.
“Penat jaga nama baik, dipalitkan pula dengan hal macam ini. Terkejut, geram, sedih, rasa nak jerit pun ada.
“Kesian Datuk Yusof Haslam, dia jaga kami macam adik-beradik dan anak sendiri. Seluruh pasukan Gerak Khas pun kecewa. Baru sahaja lancarkan GK 2.0,” ujarnya.
Dalam masa sama, Salina menegaskan dia sentiasa menjaga disiplin serta integriti sebagai anak seni dan berharap orang ramai tidak lagi mengaitkan dirinya dengan kes berkenaan.
“Bukan Salina Saibi ya. Saya sentiasa menjaga disiplin dan reputasi sebab sedar kita bawa nama besar.
“Saya tak nak apa yang saya usahakan selama ini termasuk reputasi dan kepercayaan yang dibina hancur akibat salah faham.
“Harap penjelasan ini membantu mengelakkan sebarang spekulasi. Pelakon tersebut bukan Salina Saibi dan saya tak boleh komen lebih lanjut. Kita kena hormati proses serta siasatan yang sedang berjalan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan seorang pelakon wanita yang membintangi drama kepolisan terkenal ditahan selepas disyaki positif dadah jenis methamphetamine dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di ibu negara.
Pelakon terbabit ditahan bersama 17 individu lain dalam operasi yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.
Bagaimanapun, pelakon berkenaan telah dibebaskan dengan jaminan polis dan siasatan lanjut sedang dijalankan.