Sekilas
- Syamel berseloroh meminta Datuk Fazley Yaakob berkongsi maklumat tentang khidmat dron yang digunakan dalam lamaran romantisnya kepada Datuk Seri Vida.
- Ernie Zakri, Shila Amzah, dan Liza Hanim turut menyatakan minat dan berseloroh mengenai kejutan romantis tersebut kepada suami masing-masing.
- Fazley menggunakan 1,200 dron dan cincin bernilai RM7,000 yang direka khas untuk melamar DSV semasa 11.11 Mega Stock Live Concert.
Penyanyi, Syamel mencuri perhatian apabila berseloroh mengenai lamaran romantis cef selebriti dan penyanyi, Datuk Fazley Yaakob terhadap usahawan sensasi, Datuk Seri Vida (DSV).
Menerusi satu hantaran di Threads, Syamel meminta Fazley berkongsi maklumat mengenai pihak yang menyediakan khidmat dron bagi menjayakan lamaran istimewa tersebut selepas isterinya, Ernie Zakri turut menunjukkan minat terhadap kejutan romantis berkenaan.
"Datuk Fazley Yaakob nanti share contact lah kat mana nak dapat dron tu. Kesian kami para suami dari malam tadi ditekan-tekan. Harap dapat memahami.
"Apa-apa pun semoga berbahagia bersama Datuk Seri Vida," tulisnya.
Bukan Ernie sahaja, penyanyi Shila Amzah dan Liza Hanim turut berseloroh meminta perkara sama terhadap suami masing-masing.
Terdahulu, Fazley mencuri perhatian ramai apabila melamar DSV ketika 11.11 Mega Stock Live Concert.
Bagi melengkapkan lamaran tersebut, Fazley memilih sebentuk cincin bernilai RM7,000 hasil ciptaan Habib Jewel yang direka khas menyerupai tiara, diinspirasikan daripada kegemaran DSV memakai mahkota atau crown.
Malah, Fazley menyediakan 1,200 dron bagi mencantikkan lagi momen lamarannya terhadap DSV.