Sekilas
- Ahli fisioterapi Kevin Choo berkongsi kenangan bermakna bersama Allahyarhamah Tun Dr Hasmah Mohamad Ali yang sangat dihormatinya.
- Kevin menyifatkan pengalaman itu sebagai satu penghormatan dan memori yang akan sentiasa dihargai sepanjang hayat.
- Berita pemergian Tun Dr Hasmah disahkan oleh anak lelakinya dan jenazahnya telah dikebumikan di Pusara Negara, Putrajaya.
Ahli fisioterapi, Choo Zhang Hui atau lebih dikenali sebagai Kevin Choo, 31, menyifatkan peluang untuk bersama Allahyarhamah Tun Dr Hasmah Mohamad Ali sebagai satu kenangan yang akan kekal dalam ingatannya.
Menerusi perkongsian di platform Threads, Kevin berkata pengalaman tersebut bukan sekadar momen yang sempat dirakam, sebaliknya menjadi memori bermakna yang akan sentiasa dihargainya.
Menurut Kevin, Allahyarhamah Tun Dr Hasmah merupakan figura yang sangat dihormati dan dikaguminya.
“Lebih daripada sekadar momen yang dirakam, ini adalah kenangan yang akan saya bawa bersama sepanjang hayat.
“Tun Hasmah adalah seseorang yang sangat saya hormati dan kagumi. Berpeluang untuk berada di sana dan berkongsi walaupun sedikit daripada perjalanan hidup beliau adalah satu penghormatan yang akan sentiasa saya hargai,” coretnya.
Dalam pada itu, Kevin juga turut meluahkan rasa syukur kerana diberi kesempatan untuk melalui momen tersebut bersama Allahyarhamah Tun Hasmah.
Bagi Kevin, pengalaman berkenaan bukan sahaja meninggalkan kenangan indah, malah menjadi satu penghormatan yang akan terus dikenang sepanjang hayat.
“Ada momen yang menjadi kenangan dan ada kenangan yang akhirnya menjadi sebahagian daripada hati kita selamanya,” tulisnya.
Terdahulu, kehadiran Kevin yang sentiasa di sisi Tun Dr Mahathir semasa pengebumian isterinya, Tun Dr Hasmah Isnin lalu, tular di media sosial selepas dia dilihat turut menangis.
Untuk info, Tun Dr Siti Hasmah, 100, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur.
Berita pemergian Tun Hasmah disahkan anak lelakinya, Tan Sri Mokhzani Mahathir.
Jenazah Dr Hasmah selamat dikebumikan di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya, petang hari sama.