Sekilas
- Khai Bahar menjelaskan komen negatif terhadap rakan duetnya, Yulia Kamelia, datang daripada akaun palsu dan bukan peminat sebenar mereka.
- Khai menasihati Yulia supaya tidak melayan komen negatif tersebut agar tidak menjejaskan semangatnya sebagai penyanyi baru dalam industri.
- Khai menganggap situasi ini biasa berlaku dalam dunia seni dan bidang lain, di mana ada individu yang menggunakan akaun palsu untuk memberi kecaman.
Penyanyi, Khai Bahar menjelaskan komen negatif dan kecaman yang diterima oleh rakan duetnya iaitu Yulia Kamelia bukan datang daripada peminat setianya.
Tampil mempertahankan Yulia dan peminatnya, Khai berkata komen-komen berbaur negatif itu dipercayai daripada akaun palsu yang seolah-olah sengaja direka untuk memberikan kecaman.
“Orang-orang yang komen negatif begini saya pun tidak kenal sebab saya mengenali peminat saya. Yang mereka ini saya tidak tahu siapa dia.
“Kadang-kadang saya sendiri pun kena marah, mereka ini adalah orang yang sama. Mereka adalah akaun palsu (fake account) dan ayat-ayat yang digunakan juga pelik,” ujarnya.
Khai berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sesi bersama media yang diadakan di restoran Leo's Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur pada Khamis.
Menguatkan lagi teorinya tentang akaun palsu itu, Khai menjelaskan setiap kali dia berduet dengan mana-mana artis, pasti ada segelintir individu yang tidak dikenali akan meninggalkan komen berbaur kecaman.
Malah kata Khai, akaun tersebut juga datangnya dari beberapa orang yang sama.
“Bukan peminat saya, kalau peminat saya semua baik-baik. Tapi yang ini memang tak tahu siapa dia, macam ‘strangers’ yang saya sendiri sebenarnya tak kenal.
“Cuma dua tiga orang ini, bila ada sesiapa yang berduet dengan saya sahaja mesti orang tu akan kena,” katanya.
Tidak mahu perkara tersebut menjejaskan semangat Yulia yang masih baharu dalam industri, Khai berkata dia sudah menasihati penyanyi itu supaya tidak melayan komen negatif berkenaan.
Malah, Khai juga menganggap situasi tersebut sebagai perkara biasa bukan sahaja dalam dunia seni, malah dalam bidang lain juga.
“Saya dah beritahu pada Yulia untuk abaikan dan buat tak tahu sahaja sebab mereka pakai akaun palsu.
“Kalau mereka kata apa-apa pun jangan ambil hati, kalau dia melayan pun akan patahkan semangat je, sebab Yulia pun masih baru, takut dia ‘down’ nanti.
“Pada saya, saya lebih ingin memberikan semangat kepada dia, setakat dua tiga orang tu letak tepi sebab masih ada lagi beribu orang yang nak dengar kita menyanyi.
“Itu adalah fake akaun, sebab peminat saya bukan macam tu. Benda begini kadang-kadang bukan penyanyi sahaja yang kena, perniagaan atau kerja lain pun mesti ada strangers.
“Mesti ada iri hati, jadi benda itu tak akan lari sebab kita ni bukannya perfect mana pun, mereka yang hebat daripada kita pun ada juga orang tak suka, jadi itu adalah perkara biasa,” jelasnya.
Terdahulu, Yulia sebelum ini memaklumkan dia pernah menerima kecaman susulan kolaborasi mereka menerusi lagu terbaharu berjudul ‘Toksik’.