Sekilas
- Khairul Aming berkongsi rasa tidak selesa akibat jerebu yang menyebabkan sesak nafas ketika bersenam di gimnasium.
- 34 stesen pengawasan udara di seluruh negara merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat, dengan kawasan Klang dan Johan Setia mencatat bacaan tertinggi 192.
- Orang ramai terutama golongan berisiko dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar jika keadaan jerebu berterusan.
Personaliti media sosial dan usahawan, Khairul Aming meluahkan rasa kurang selesa dengan keadaan jerebu yang melanda negara.
Menerusi perkongsian di Threads, Khairul Aming keadaan tersebut menjejaskan aktivitinya ketika bersenam di gimnasium.
“Punyalah teruk jerebu hari ini sampai berkabus dalam gym sebab open ventilation. Sesak nafas workout,” tulisnya.
Perkongsian tersebut menarik perhatian netizen yang turut berkongsi pengalaman masing-masing berdepan keadaan udara yang kurang baik, malah ada yang mendakwa bau asap dapat dihidu ketika sedang menjalankan aktiviti harian.
"Betul. Pegi gym pun sesak nafas.
“Betul tu KA. Ini tengah mengajar tuisyen ni tiba-tiba bau asap. Kesian anak murid kita.
“Hilang terus KLCC tu petang ni. Stay safe dan duduk rumah semua kalau boleh.
“Ye, lalu SPE, Menara 118, TRX, KLCC semua tak nampak.
"KA pun dah berbunyi ni.
“Sebab itu sekarang dah susah nak bersukan. Last-last pakai walking pad dengan cycling dalam rumah je,” komen seorang pengguna.
Sekadar info, sebanyak 34 stesen pengawasan kualiti udara di seluruh negara merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat jam 7 pagi ini, dengan kawasan Klang dan Johan Setia di Selangor mencatat bacaan tertinggi iaitu 192.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), turut merekodkan bacaan tidak sihat ialah Larkin, Johor (187); Bukit Rambai, Melaka (186); Nilai, Negeri Sembilan (185); dan Seremban, Negeri Sembilan (182).
Di Selangor, selain Klang dan Johan Setia, kawasan Shah Alam (181), Banting (171), Petaling Jaya (170) dan Kuala Selangor (161) turut mencatat bacaan tidak sihat.
Beberapa kawasan di Johor turut terjejas termasuk Pasir Gudang (181), Batu Pahat (180), Tangkak (175), Pengerang (173), Kluang (164), Kota Tinggi (163) dan Segamat (161).
Di Melaka, bacaan tidak sihat direkodkan di Alor Gajah dan Bandaraya Melaka, masing-masing pada paras 178.
Putrajaya mencatat bacaan 176, manakala dua stesen di Kuala Lumpur iaitu Cheras dan Batu Muda masing-masing merekodkan bacaan 174 dan 163.
Mengikut klasifikasi APIMS, bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, manakala bacaan 51 hingga 100 berada pada tahap sederhana.
Orang ramai, terutama golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai masalah pernafasan, dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar sekiranya keadaan jerebu berterusan.