Sekilas
- Penganjur Impian Al Fateh Sdn Bhd, GIS Entertainment & Events dan ILCV Events akan membawa semula Wali Band ke Kuala Lumpur pada 1 Mei sebagai ganti konsert yang dihentikan secara tiba-tiba baru-baru ini.
- Peminat yang hadir pada konsert terdahulu layak mendapat diskaun 20 peratus untuk tiket konsert baru dengan mengemukakan bukti pembelian.
- Penganjur memohon maaf atas insiden tersebut dan berjanji akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pengurusan lokasi bagi memulihkan hak dan maruah peminat.
Susulan insiden konsert dihentikan secara tiba-tiba baru-baru ini, penganjur Impian Al Fateh Sdn Bhd dan GIS Entertainment & Events dan Infinity Love Creative Ventures atau ILCV Events bakal membawa semula Wali Band ke Kuala Lumpur.
Menurut wakil penganjur, Mubarak Akhtar Mohd Haris, konsert yang akan diadakan pada 1 Mei nanti akan mengubat hati peminat yang tidak puas melihat persembahan Wali Band.
"Walau bagaimanapun, sebagai tanda penghargaan dan permohonan maaf ikhlas kami kepada peminat yang terkesan, kami membawakan satu berita baik.
"Pihak syarikat berbesar hati mengumumkan akan membawa semula kumpulan Wali Band dan Radja ke Malaysia untuk satu konsert khas bagi mengubati kekecewaan peminat.
"Tarikh dirancang adalah pada 1 Mei akan datang dan penonton yang hadir pada malam kejadian layak menerima diskaun istimewa, 20 peratus untuk konsert akan datang ini dengan mengemukakan bukti pembelian atau tiket konsert yang lepas,” katanya.
Dalam pada itu, Akhtar mewakili pihak penganjur memohon maaf kepada penonton yang hadir di Konsert RadjaWali atas insiden yang berlaku baru-baru ini.
"Sekali lagi, kami memohon maaf terhadap penonton atas segala kesulitan yang berlaku dan berjanji akan menuntut keadilan demi memulikan maruah serta hak para peminat," katanya.
Sebelum ini, penganjur konsert Pentas RadjaWali memaklumkan pihak mereka bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap pengurusan lokasi dalam masa terdekat susulan insiden penutupan sistem bunyi secara tiba-tiba ketika konsert di Idea Live Arena Petaling Jaya pada 10 Januari lalu.