Sekilas
- Kilauan Emas Selebriti 2026 akan bermula pada 22 Ogos dengan 10 selebriti veteran berusia 50 tahun ke atas yang bukan penyanyi profesional bertanding dalam program realiti nyanyian ini.
- Program ini menggabungkan misi kemasyarakatan melalui konsep Talent That Gives Back, di mana setiap kemenangan mingguan disertai sumbangan amal kepada artis veteran yang memerlukan.
- Raja Azura kembali sebagai pengacara utama bersama Keanu Azman, manakala juri tetap terdiri daripada Jihan Muse dan Datuk Yusry KRU, dengan penjurian 80% dari panel profesional dan 20% undian penonton.
Program realiti Kilauan Emas kembali dengan pembaharuan apabila buat julung kalinya menghimpunkan 10 selebriti veteran menerusi edisi Kilauan Emas Selebriti 2026 yang bakal membuka tirai pada 22 Ogos depan.
Berbeza berbanding musim terdahulu yang mempertaruhkan peserta dalam kalangan orang awam, edisi kali ini memberi peluang kepada personaliti terkenal berusia 50 tahun ke atas untuk mencungkil bakat terpendam dalam bidang nyanyian.
Bagaimanapun, peserta yang dipilih bukan penyanyi profesional, tidak pernah menerima latihan nyanyian secara profesional serta tidak pernah menghasilkan atau menerbitkan album muzik.
Ketua Saluran Melayu Astro, Norzeha Mohd Salleh berkata, Kilauan Emas Selebriti bukan sekadar pertandingan nyanyian, sebaliknya turut membawa misi kemasyarakatan menerusi konsep Talent That Gives Back.
“Kilauan Emas Selebriti lebih daripada sekadar sebuah pertandingan nyanyian, ia turut membawa misi kemasyarakatan menerusi konsep Talent That Gives Back.
“Menerusi inisiatif ini, setiap kemenangan mingguan akan disertakan dengan sumbangan amal kepada rakan-rakan artis veteran yang memerlukan.
“Sekali gus menjadikan program ini sebagai platform yang bukan sahaja meraikan bakat, tetapi turut memberi impak positif kepada masyarakat,” katanya.
Selain itu, program berkenaan turut memperkenalkan segmen istimewa Telan Kaset yang menyaksikan kemunculan artis legenda tanah air pada setiap minggu.
“Segmen khas ini direka bagi menghidupkan kembali nostalgia dalam kalangan penonton serta menyuntik nilai sentimental yang menjadi antara kekuatan utama Kilauan Emas sejak ia diperkenalkan,” ujarnya.
Tambah menarik, Raja Azura yang pernah mengendalikan Kilauan Emas dari musim pertama sehingga kelima bakal kembali sebagai pengacara utama.
Kali ini, Raja Azura akan digandingkan bersama Keanu Azman sebagai rakan pengacara.
Kerusi juri pula menyaksikan gandingan pelawak Jihan Muse dan Datuk Yusry KRU sebagai juri tetap selain kehadiran seorang juri jemputan berbeza pada setiap minggu.
Dari segi penjurian, sebanyak 80 peratus markah ditentukan panel juri profesional manakala baki 20 peratus menerusi undian penonton secara dalam talian.
Kilauan Emas Selebriti 2026 bakal berlangsung selama tujuh minggu secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam bermula 22 Ogos, setiap Sabtu pada pukul 9 malam menerusi Astro Prima.
Program berkenaan turut boleh distrim menerusi On Demand, Astro GO dan Sooka.
Dalam masa sama, penonton boleh mengikuti perjalanan peserta termasuk sesi latihan vokal, persiapan persembahan serta misi bantuan kemasyarakatan menerusi Diari Kilauan Emas Selebriti 2026 bermula 17 Ogos.
Podcast Kilauan Emas Selebriti yang dikendalikan penyampai radio Sinar, Faliq pula akan menemui penonton bermula 14 Ogos bagi menyelami kisah perjalanan dan pengalaman lampau peserta.