Skip to main content

Berita Tempatan

“Kita Boleh Berubah, Kita Boleh Sembuh” – Nourul Depp Mahu Wanita Berani Bina Semula Diri

“Kita Boleh Berubah, Kita Boleh Sembuh” – Nourul Depp Mahu Wanita Berani Bina Semula Diri

Sekilas

  • Nourul Depp menegaskan wanita tidak perlu dibelenggu masa lalu dan sentiasa berpeluang untuk berubah dan membina semula diri tanpa mengira usia.
  • Beliau dipilih semula menyertai Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS) 2026 untuk berkongsi pengalaman dan membantu wanita lain mengenal potensi diri.
  • Selain kerjaya nyanyian, Nourul aktif sebagai jurulatih kehidupan profesional dan pengasas platform pembangunan diri Firetalk, sambil meraikan konsert solo pertamanya selepas lebih 30 tahun dalam industri muzik.
Advertisement

Selepas lebih tiga dekad melalui pelbagai fasa kehidupan dan kerjaya, penyanyi dan usahawan Nourul Depp percaya seseorang wanita tidak seharusnya membiarkan pengalaman masa lalu menentukan siapa diri mereka pada hari ini.

Menurut Nourul, setiap wanita mempunyai peluang untuk berubah, pulih dan membina semula kehidupan tanpa mengira usia.

Advertisement

“Saya mahu wanita tahu bahawa mereka tidak perlu kekal sebagai versi diri mereka yang dibentuk oleh masa lalu. Kita boleh berubah. Kita boleh sembuh. Kita boleh membina semula diri.

“Dan kita boleh memilih arah baharu dalam hidup, tidak kira pada usia berapa pun,” katanya.

Semangat itu turut dibawa Nourul selepas sekali lagi dipilih menyertai Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS) 2026, sebuah inisiatif di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi Jabatan Pembangunan Wanita (JPW).

Advertisement

Nourul berkata, peluang tersebut bukan sekadar mengenai pengiktirafan sebagai seorang pemimpin wanita, sebaliknya bagaimana kedudukan dan pengalaman yang dimiliki boleh digunakan untuk membantu orang lain.

“Saya amat bersyukur dan berbesar hati kerana sekali lagi diberi peluang untuk bersama PERANTIS. Bagi saya, menjadi seorang wanita pemimpin bukan sekadar tentang gelaran atau kedudukan.

“Yang lebih penting ialah apa yang kita lakukan dengan peluang yang diberikan untuk menyentuh kehidupan wanita lain, membantu mereka melihat potensi diri dan memberi keberanian untuk melangkah ke hadapan,” katanya.

Bukan lagi hanya dikenali menerusi dunia nyanyian, Nourul kini turut aktif sebagai jurulatih kehidupan profesional dan mengasaskan Firetalk, platform pembangunan diri yang memberi tumpuan kepada kesedaran diri, kecerdasan emosi, ketahanan, pemikiran dan transformasi peribadi.

Menurut Nourul, pengalaman hidupnya sendiri menjadi antara perkara yang membentuk pendekatan tersebut.

Daripada memulakan kerjaya sebagai penyanyi pada usia muda, melalui pelbagai fasa kehidupan dan kerjaya sehingga menceburi bidang keusahawanan serta pembangunan diri, semua pengalaman itu memberikan perspektif berbeza terhadap kekuatan seseorang wanita.

“Saya percaya kepimpinan tidak semestinya bermula dengan jawatan atau gelaran. Kadangkala kepimpinan bermula apabila seorang wanita membuat keputusan untuk percaya kepada dirinya sendiri sekali lagi.

“Apabila seorang wanita mengubah cara dia melihat dirinya, dia juga boleh mengubah cara dia melihat keluarga, kerjaya, perniagaan dan masa depannya,” katanya.

Tahun ini turut menjadi fasa penting dalam perjalanan Nourul apabila dia merealisasikan impian mengadakan konsert solo pertamanya, ‘For You: Nourul’ di Zepp Kuala Lumpur selepas lebih tiga dekad berada dalam industri muzik.

Dalam pada itu, PERANTIS 2026 bakal berlangsung di Tamu Hotel Kuala Lumpur pada 17 dan 18 Oktober depan dengan Nourul sebagai penceramah jemputan bersama Datuk Seri Alha Alfa, manakala Atilia tampil sebagai pengajar jemputan.

Must Watch Video

Advertisement