Sekilas
- Koleksi barangan peribadi legenda filem Perancis, Brigitte Bardot, berjaya dilelong hampir €1 juta, jauh melebihi nilai anggaran awal.
- Antara barangan yang mendapat bidaan tinggi termasuk kolar anjing, potret diri, mesin taip, dan gitar milik Bardot.
- Hasil lelongan akan disalurkan kepada Yayasan Brigitte Bardot yang fokus kepada kebajikan haiwan, walaupun mendapat kritikan dari suami terakhir Bardot.
Koleksi atau Barangan peribadi legenda filem Perancis, Brigitte Bardot berjaya meraih hampir €1 juta (RM4.6 juta) dalam satu lelongan di Paris pada Isnin lalu.
Menurut rumah lelong Millon kepada Agence France-Presse (AFP), jumlah tersebut hampir 20 kali ganda daripada nilai anggaran awal, sekali gus membuktikan masih ramai peminat yang sanggup membida untuk memiliki barangan peninggalan bintang ikonik itu.
Sebanyak 285 barangan dilelong termasuk topi jerami, cermin mata hitam, pakaian tidur, pinggan mangkuk serta perabot dari kediamannya di Saint-Tropez, iaitu La Madrague dan La Garrigue, selain barangan dari apartmennya di Paris.
Malah difahamkan, sekitar 3,000 pembida dari Perancis dan seluruh dunia telah mendaftar untuk menyertai lelongan berkenaan.
Bardot meninggal dunia pada Disember tahun lalu pada usia 91 tahun. Hasil jualan barangan peribadi yang dibida akan disalurkan kepada Brigitte Bardot Foundation, pertubuhan kebajikan haiwan yang diasaskannya, selain kepada anak tunggalnya, Nicolas-Jacques Charrier.
Yayasan berkenaan yang ditubuhkan pada 1986 mendakwa telah menyelamatkan sekitar 13,000 haiwan menerusi empat pusat perlindungan dan 150 fasiliti rakan kongsi. Ia turut menyokong 350 kumpulan di Perancis serta menjalankan operasi di 70 negara.
“Brigitte Bardot sekali lagi membuktikan dirinya seorang alkimia yang luar biasa. Dia berjaya menukarkan barangan yang dianggarkan bernilai sekitar €50,000 (RM230,000) kepada hampir €1 juta termasuk caj,” kata pelelong Alexandre Millon.
Antara barangan yang mencuri perhatian ialah dua kolar anjing lengkap dengan tanda nama Bardot serta nombor telefon kediamannya di La Madrague.
Kedua-dua kolar itu pada asalnya hanya dianggarkan bernilai €30 (RM140), namun akhirnya terjual pada harga mengejutkan iaitu €9,400 (RM43,000) kepada seorang pembida dari Rusia.
Turut mendapat perhatian adalah potret diri Bardot yang terjual pada harga hampir €40,000 (RM184,000), manakala mesin taip yang pernah digunakannya untuk menulis autobiografi berjaya dijual pada harga €4,634 (RM21,000).
Tidak ketinggalan, dua buah gitarnya yang masing-masing dianggarkan bernilai antara €300 hingga €500 (RM1,400 hingga RM2,300) turut mencatat bidaan tinggi apabila terjual pada harga €8,600 (RM40,000) dan €11,900 (RM55,000).
Tiga patung haiwan berupa anak anjing laut pula terjual pada harga hampir €2,200 (RM10,000).
Menurut pengarah urusan Yayasan Brigitte Bardot, Ghyslaine Calmels, lelongan itu merupakan kesinambungan kepada usaha Bardot sendiri.
“Jualan ini adalah kesinambungan logik daripada lelongan yang dianjurkannya sendiri pada 1987 menggunakan barangan paling berharga miliknya untuk menubuhkan yayasan.
“Hari ini, perjuangannya diteruskan menerusi lelongan ini,” katanya kepada AFP.
Bagaimanapun, lelongan tersebut turut mencetuskan kontroversi. Dua hari sebelum acara berlangsung, Bernard d’Ormale, suami terakhir Bardot, mengkritik keputusan menjual barangan peribadi berkenaan dan menyifatkannya sebagai satu “gurauan”.
“Ini barangan peribadi. Mengapa perlu mengadakan jualan ini? Untuk haiwan? Ini satu gurauan,” katanya kepada AFP.
Menurut d’Ormale, tindakan itu dianggap tidak menghormati memori Bardot. Dia berpendapat barangan tersebut sepatutnya disimpan sebagai sebahagian daripada legasi mendiang dan mendakwa Bardot sendiri ‘tidak akan bersetuju dengan jualan ini’.
Bagaimanapun, Yayasan Brigitte Bardot menolak kritikan tersebut dan menjelaskan lelongan berkenaan telah mendapat kelulusan lembaga pengarah pada Jun, termasuk daripada d’Ormale sendiri yang ketika itu merupakan presidennya.