Sekilas
- Liza Hanim, pemenang Vokal Terbaik AJL Ke-17, akan terus bertahan dalam industri muzik selama peminat masih menyokongnya.
- Beliau menyanyi kerana cinta dan percaya kreativiti serta suara yang dikurniakan Allah masih ada dalam dirinya selepas 28 tahun berkarya.
- Liza baru-baru ini melancarkan single terbaru "Jeda Derita" yang menjadi OST drama Sumpah Ibuku, hasil kerjasama dengan Tomok dan Fedtri Yahaya.
Dinobatkan Vokal Terbaik di Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-17 menerusi lagu Gelisah Mimpi, penyanyi Liza Hanim akan terus bertahan dalam industri selagi peminatnya masih menyokong.
Menurut Liza, bakat yang dikurniakan Allah akan digunakan sebaik yang mungkin dan akan menyanyi kerana cintanya terhadap muzik.
“Peminat masih mahu mendengar saya menyanyi. Pada tahap ini, saya tidak lagi mahu bersaing dengan sesiapa. Persaingan bukan lagi tujuan saya.
“Saya terus menyanyi kerana cinta. Saya percaya kreativiti itu masih ada dalam diri saya. Allah masih mengurniakan suara ini, dan saya masih boleh menyanyi.
“Jadi, saya tidak rasa akan berhenti dalam masa terdekat. Tahun ini sudah 28 tahun saya berada dalam industri, saya bertahan dan terus menguatkan diri,” katanya kepada Gempak.
Biarpun menerima kritikan baru-baru ini, namun Liza, tetap bersemangat mengetengahkan single terbaharunya yang dihasilkan oleh Tomok dan lirik ditulis oleh Fedtri Yahaya yang berjudul Jeda Derita.
“Jeda Derita ini sangat menarik. Saya dilamar oleh Alternate untuk menyanyikan lagu ini sebagai OST (Original Soundtrack) Sumpah Ibuku.
“Ketika itu saya sedang sibuk dengan program televisyen, proses rakaman lagu ini juga dibuat pada waktu yang sama. Apa yang membuatkan saya bersetuju ialah rezeki dan kepercayaan yang terus datang. Alhamdulillah.
“Terima kasih kepada semua yang masih percaya dengan kemampuan saya, terutamanya yang masih percaya dengan kemampuan saya untuk menyampaikan lagu OST,” katanya.