Sekilas
- Bella Astillah berkongsi video menyediakan nasi ayam untuk suaminya, Syed Saddiq, yang menarik perhatian netizen kerana gelas bergambar pasangan mereka di atas meja.
- Gelas tersebut dipercayai hadiah perkahwinan dan mendapat pujian netizen kerana Bella menghargai pemberian peminatnya dengan baik.
- Bella dan Syed Saddiq berkahwin pada 10 Oktober lalu dan telah mengadakan beberapa majlis resepsi di Kuala Lumpur, Johor, dan akan diikuti dengan majlis di Sabah pada 31 Oktober.
Perkongsian penyanyi dan pelakon Bella Astillah menyediakan nasi ayam buat suaminya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mencuri perhatian apabila netizen menyedari kehadiran gelas bergambar pasangan tersebut di atas meja. Gelas yang dipercayai hadiah perkahwinan itu kelihatan bersama hidangan disediakan Bella.
Menerusi perkongsian di Threads, seorang individu meluahkan rasa senang melihat cara Bella menghargai hadiah daripada peminatnya. “Siapa yang bagi hadiah gelas hari tu, tengoklah, betul-betul dimanfaatkan penggunaannya,” tulis individu tersebut.
Menjengah ruangan komen, beberapa pengguna lain turut memuji sikap penyanyi berkenaan, selain menyifatkan gelas bergambar wajah pasangan yang dikenali sebagai BASS itu sebagai comel.
“Bella punya bagus itu memang nampaklah dia menghargai peminatnya,” komen seorang pengguna.
“Comelnya cawan itu, baru perasan,” tulis seorang lagi.
Bagaimanapun, identiti pemberi serta asal usul gelas tersebut tidak diperincikan dalam perkongsian berkenaan. Untuk rekod, Bella dan Syed Saddiq sah bergelar suami isteri pada 10 Oktober lalu di Menara Merdeka 118, Kuala Lumpur, dengan mas kahwin RM500.
Pasangan itu turut diraikan dalam majlis resepsi di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), diikuti Kenduri Rakyat di Muar, Johor pada 25 Oktober lalu. Majlis seterusnya dijadualkan berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah pada 31 Oktober ini.
Sumber: Threads