Sekilas
- Konsert 3DIVA Timeless Live di Unifi Arena pada 22 November dibatalkan kerana beberapa keadaan tidak dapat dielakkan.
- Semua pemegang tiket akan menerima pemulangan wang melalui platform pembelian masing-masing dalam tempoh 14 hari bekerja.
- Penganjur memohon maaf atas kesulitan dan akan mengemas kini maklumat lanjut melalui saluran rasmi mereka.
Konsert 3DIVA Timeless Live in Kuala Lumpur yang dijadualkan berlangsung di Unifi Arena pada 22 November depan dibatalkan berikutan beberapa keadaan yang tidak dapat dielakkan.
Penganjur, T-Rex Studio Sdn. Bhd. menerusi kenyataan hari ini memaklumkan semua pemegang tiket akan menerima pemulangan wang melalui platform pembelian masing-masing.
Menurut kenyataan tersebut, proses bayaran balik dijangka diselesaikan dalam tempoh 14 hari bekerja.
Pemegang tiket dinasihatkan merujuk platform penjualan tiket tempat mereka membuat pembelian bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai urusan berkenaan.
Konsert tersebut sepatutnya menghimpunkan tiga penyanyi tersohor Indonesia iaitu Kris Dayanti, Ruth Sahanaya dan Titi DJ dalam persembahan yang meraikan perjalanan seni serta legasi muzik mereka.
Menurut penganjur, keputusan membatalkan acara itu bukan sesuatu yang mudah selepas pelbagai persiapan dan perancangan dilaksanakan bagi memastikan kelancarannya.
Susulan pembatalan tersebut, T-Rex Studio memohon maaf kepada peminat, pemegang tiket, penaja, rakan media serta semua pihak terlibat atas kesulitan dan kekecewaan yang timbul.
Penganjur turut memahami keputusan itu memberikan kesan kepada pihak yang sudah membuat perancangan serta persiapan awal untuk menghadiri konsert berkenaan.
Dalam masa sama, pihaknya merakamkan penghargaan atas kepercayaan, sokongan dan kerjasama semua pihak sepanjang usaha menjayakan persembahan tersebut.
Sebarang perkembangan lanjut mengenai pembatalan konsert akan dimaklumkan menerusi saluran komunikasi rasmi penganjur.