Sekilas
- Dato Awie mencipta sejarah dengan album solo pertamanya yang terjual 220,000 unit, menjadikannya rekod tertinggi bagi artis solo lelaki di Malaysia.
- Konsert Awie Rock King - Last Man Standing 2026 di Stadium Merdeka diserikan dengan kehadiran 20,000 peminat dari pelbagai generasi yang menikmati 36 lagu sepanjang malam.
- Konsert ini bukan sahaja meraikan legasi Awie, tetapi juga menghargai pemuzik dan menonjolkan muzik rock sebagai medium kritikan sosial dan kerohanian.
Di Stadium Merdeka, tanggal keramat 12 September 2026, tanpa basa basi, Dato Awie memaknai secara langsung di sebalik penggunaan namaterjual sebanyak 220,000 unit menjadikan album tersebut sebagai pemegang rekod penjualan album tertinggi bagi artis solo lelaki di Malaysia sehingga kin
Last Man Standing membawa erti orang terakhir yang masih bertahan, hidup dan berjaya selepas orang lain tewas, gagal atau gugur. Ia sangat signifikan dengan keberadaan seorang penhibur yang perjalanan kariernya penuh onak duri, macam roller coaster ; naik, turun, terhempas, disanjung dan berulang selama empat dekad Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman mengukir nama dalam gelanggang seni tempatan.

Lantas apabila Stadium Merdeka gempita dengan 20, 000 peminat dan hanya seorang Awie yang ‘memanggil’ kehadiran mereka, ia adalah pencapaian yang cukup mengharukan. Ia menjadi lambang kesetiaan peminat ; sama ada Awie sebagai vokalis Wings, Awie sebagai penyanyi solo mahupun Awie sebagai aktor yang telah memainkan banyak watak ikonik di layar kaca atau lebar.
Sebelum pergi lebih dalam bercerita tentang Konsert Awie Rock King - Last Man Standing 2026, kita telusuri anekdot karier solo Awie. Anak Datuk Keramat ini ‘hidup dan subur’ bersama Wings, sebelum ‘sayap’ kugiran itu terpaksa melepaskan Awie terbang solo sekitar 1993, 1994 ; dan melahirkan lima album solo termasuk yang pertama terjual sebanyak 220,000 unit menjadikan album eponim tersebut sebagai pemegang rekod penjualan album tertinggi bagi artis solo lelaki di Malaysia sehingga kini.

Okay, setelah memahami bagaimana impak luar biasa yang dicetus menerusi album solo pertama, lagu-lagu runut bunyi yang menghiasa filem fenomena seperti Ukiran Jiwa atau Tiada Rahsia Antara Kita ataupun untaian tembang yang menjadi ‘mantera’ Sayap-Sayap Wings daripada album Belenggu Irama sehingga Bikin Wilayah (Wings dan Search) maka tuntaslah mengapa Konsert Awie Rock King - Last Man Standing 2026 melakar sejarah kejayaan yang luar biasa.
Maka di sebalik ketidaksempurnaan dan kekurangan, peminat sangat menikmati eurofia konsert pada malam itu sebaik tirai dibuka dengan Sayap Ilusi dan tidak berhenti bersama sederet hit pada segmen satu termasuk Di Balik Awan, Mata Hati Jiwa serta gandingan Merrah dan Puteri pada Baldu Biru yang membuat stadium gemuruh tanpa henti.
Demikian juga saat segmen dua hingga empat yang bukan hanya dipenuhi lagu popular tetapi pergantian penyanyi ; dari Dato Hattan, Erra Fazira, Stacy, Black, Akim, Hana Delisha sehingga Amir Masdi yang melantunkan lagu-lagu pilihan telah membuat seluruh stadium bergegar, apa yang lebih mengesankan penulis secara peribadi adalah bagaimana penganjur dan tim Awie mencapai kesepakatan membawa barisan pemuzik yang cukup hebat mengiringi segmen dan ‘bahagian’ masing-masing.
Di konsert ini, Awie tidak hanya sedang menjadikan dirinya seorang perlu diraikan dan dirayakan melalui legasi dan portfolio yang telah dibina. Sebaliknya, beliau sedang memberi penghargaan kepada tulang belakang setiap penyanyi iaitu pemuzik ; baik daripada Yan Lefthanded, Addy Cradle sehingga Rody Kristal (sekadar menyebut beberapa nama), bergembira bersama-sama dan merakam sejarah yang barangkali tidak akan terulang dalam tempoh waktu terdekat.

Kesetiaan peminat
Bersama lagu untuk album solo sehingga yang dipetik daripada album kugiran termasuk tembang tribute sebagai penghormatan kepada Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Dato’ M. Nasir, Alleycats, Lefthanded dan Search, penulis seperti melihat banyaknya ‘ego’ yang terbang dan pecah berkeping-keping menjadi puing atas nama persahabatan dan seni.
Dan dengan menyampaikan 36 lagu tanpa culas pada usia 58 tahun di tahun ke-41 kariernya ; pada untaian tembang bernada tinggi yang sesekali mendengar Awie bergurau ia ‘sukar’ tapi terlihat mudah dengan semangat besar beliau melunaskan konsert tersebut sehingga sekitar pukul 12.45 pagi, penulis berharap pengorbanan yang dilakukan anak-anak seni ini dihargai.

Jangan sekadar mengatakan seni sebuah picisan atau meletakkan seni sebagai kasta paling rendah yang malu untuk diakui hanya kerana mahu dipandang lebih tinggi daripada kedudukan.
Kerana pada malam itu, hakikatnya yang terlihat dalam Stadium Merdeka, perayaan Konsert Awie Rock King - Last Man Standing 2026 benar-benar dipenuhi oleh lintas generasi.
Peminat yang datang dari generasi X yang ingin mengenang masa muda mereka, gelombang besar generasi milenial yang mendominasi area, hingga generasi Z yang barangkali terpaksa menemani ibu bapa atau baru mengenal karya-karya nyanyian Awie, sama-sama pulang jam 1 pagi.

Kalau bukan kerana kecintaan, kesetiaan dan tidak mahu melepaskan momen langka di konsert tersebut terlewatkan begitu sahaja, segera stadium akan kosong. Namun sebaliknya, apabila penulis melihat sekeliling, masih ramai yang sanggup berkematu punggung duduk, menyimpan kantuk dan terus menyanyi sehingga lagu terakhir iaitu Terima Kasih, maka benarlah mereka tidak mahu Awie berjuang sendirian.
Peminat sentiasa bersama Awie dalam pertempuran beliau sejak dahulu sehingga kini. Dan difikirkan secara sepintas lalu apa yang membuatkan Awie terus menjadi legenda selama empat dekad ini bukan hanya kerana bakat dan bakti yang tidak boleh dinafikan terhadap bidang seni tetapi bagaimana karisma, aura dan karakteristik lelaki itu membawa diri ; di sebalik kelantangan sebenarnya hati seorang Awie memang ‘penuh bunga di taman’.
Dan penulis memilih untuk tidak mengulas tentang faktor ketidak-sihat seorang Awie malam itu yang sebaik turun ke belakang pentas mengambil rawatan nebulizer (gas) sebagai kaedah yang sangat efektif melegakan simptom bronkitis kerana tidak mahu Konsert Awie Rock King - Last Man Standing 2026 hanya dikenang sebagai sebuah konsert ‘Awie tidak sihat’, ‘Awie bergelut menyanyi di sebalik masalah bronkitis’ atau apa sajalah atas faktor kesihatan.
Sebaliknya penulis mahu peminat mengenang Konsert Awie Rock King - Last Man Standing 2026 adalah sebuah sejarah yang telah dipahat dengan manis oleh anak seni legenda ini.
Awie, terima kasih kerana telah membuktikan muzik rock bukan dibuat hanya atas sifat komersial semata, tapi rock telah menjadi sarana untuk menyuarakan kritik sosial, politik serta kerohanian (pada lagu seperti Funky Monyet atau Mentari Merah di Ufuk Timur). Sebaliknya membuktikan muzik rock sebagai salah satu genre paling berpengaruh dan popular dalam sejarah muzik moden; di sebalik berbagai evolusi dan melahirkan banyak subgenre sepanjang perjalanannya.

Cuma teguran pendek buat penganjur, Bombbay Legend Worldwide bersama Ultimate Media, (juga penganjur lain), jangan buat membunuh keterujaan dan dukungan perjuangan peminat terhadap anak seni kerana ‘janji dicapati’. Kepercayaan sukar diperoleh apa lagi yang membeli dengan setiap keringat yang dikumpulkan adalah usaha yang tidak boleh dipandang ringan.
Jangan mengeluh jika suatu ketika, penganjuran konsert menjadi sepi bukan kerana tiada yang mahu mendukung industri tetapi lelah menyokong tetapi janji serta kualiti yang diberi gagal ditepati.