Penuh emosi dan sarat dengan makna cinta serta kekuatan seorang wanita, itulah gambaran tepat untuk konsert istimewa ‘Eternal Love, Timeless Romance’ yang dipersembahkan oleh penyanyi terkenal Indonesia, Bunga Citra Lestari (BCL) di ibu negara, semalam.
Konsert berdurasi hampir dua jam itu membawa penonton menyelusuri perjalanan hidup BCL yang penuh warna, daripada kisah cinta dan kehilangan, sehinggalah kepada keberaniannya membuka lembaran baharu dalam hidup.
Advertisement
Persembahan dimulakan dengan petikan biola Dennis Lau yang memukau sebelum Fajar Noor tampil mengalunkan lagu popular seperti Menjaga Hati dan Tuhan Tahu Kita Saling Cinta, sekaligus menghangatkan suasana di awal konsert.
Turut memeriahkan pentas pembukaan ialah Jaclyn Victor yang tampil bertenaga dengan rangkaian lagu seperti Ikut Rentakku, Gemilang dan Racun.
Namun kemunculan yang paling dinantikan sudah tentu milik BCL sendiri apabila dia membuka tirai persembahan dengan lagu Jangan Gila, disambut sorakan gemuruh para peminat.
Tidak sekadar persembahan biasa, BCL turut menghadiahkan satu kejutan istimewa apabila bergandingan dengan penyanyi, Yuna, menerusi lagu duet mereka, Watak Utama.
Konsert itu turut diselitkan dengan segmen interaktif ala ‘talkshow’ apabila dua penonton bertuah dibawa naik ke pentas untuk berkongsi kisah cinta mereka, sebelum BCL secara spontan menyanyikan lagu yang bersesuaian dengan kisah tersebut.
Salah satu momen paling menyentuh hati malam itu hadir ketika BCL menyampaikan lagu Wanita Terbahagia, yang didedikasikan khas buat Allahyarham suaminya, Ashraf Sinclair, yang meninggal dunia secara mengejut pada 17 Februari 2020.
“Lagu Wanita Terbahagia ini saya hadiahkan kepada arwah suami saya. Kehadiran Ashraf dan Noah (anak) menjadikan saya wanita paling bahagia.
"Hidup tidak seperti yang kita rancang. Saat kehilangan Ashraf, ia begitu mengejutkan. Semua perancangan kami terhenti ketika saya masih belum mampu melepaskan seorang partner in crime,” ujarnya sebak.
Menurut BCL, kehilangan Ashraf selepas 12 tahun melayari bahtera rumah tangga menjadi inspirasi utama dalam penciptaan lagu itu.
“Ketika melalui fasa kehilangan, saya menulis setiap hari sebagai cara untuk mengubati kesedihan. Pesan saya, hargailah masa bersama insan tersayang kerana kita tidak tahu bila mereka akan pergi,” katanya.
Buka lembaran baharu
Di sebalik duka yang dilalui, penyanyi berusia 41 tahun itu tidak menafikan kini dia sudah bersedia untuk membuka lembaran baharu selepas bertemu cinta baharu bersama Tiko Aryawardhana, yang dinikahinya pada 2 Disember 2023 di Bali, Indonesia.
“Lagu dan video yang saya persembahkan malam ini bukan untuk menangis, tetapi untuk berkongsi perjalanan hidup saya dan bagaimana saya berani memulakan hidup baharu.
"Suami saya hari ini juga menerima keluarga arwah Ashraf. Sekarang saya sudah jadi anak kepada Ummi (ibu Ashraf) dan Tiko pula adalah menantu beliau,” katanya tersenyum.
Konsert ‘Eternal Love, Timeless Romance’ menyaksikan BCL membawakan sebanyak 17 buah lagu popular termasuk Ingkar, Selalu Ada Di Nadimu, Memulai Kembali, Karena Ku Cinta Kau dan Cinta Sejati, menjadikan ia malam penuh makna buat para peminat yang hadir.