Skip to main content

Hiburan

“Konsert Kelate Ke KL 2026 Bukan Bersifat Kenegerian, Tetapi Lebih Kepada Meraikan Identiti, Seni Dan Budaya Kelantan” - Penganjur

Astro Gempak

Sekilas

  • Konsert Kelate Ke KL 2026 akan diadakan di Zepp Kuala Lumpur pada 29 Ogos, menampilkan penyanyi popular Kelantan seperti Eda Ezrin, Rosalinda, dan Man Khan.
  • Konsert ini bertemakan Suaro Kito, Jiwo Kito – 100% Ori Kelate, bertujuan meraikan seni dan budaya unik Kelantan serta memperkenalkannya kepada masyarakat seluruh negara.
  • Tiket sudah mula dijual di ilassotickets.com dan tempahan awal boleh dibuat melalui WhatsApp, dengan pelbagai kejutan dan pengisian budaya akan diumumkan kemudian.
Advertisement

Fenomena muzik Pantai Timur bakal menggegarkan ibu kota menerusi penganjuran Konsert Kelate Ke KL 2026 yang menghimpunkan barisan penyanyi popular Kelantan di Zepp Kuala Lumpur pada 29 Ogos depan.

Mengangkat tema Suaro Kito, Jiwo Kito – 100% Ori Kelate, konsert berkenaan bakal menampilkan Eda Ezrin, Rosalinda, Adik Waniey, Man Khan, Den Manjo, Fendi Kenali dan Aris Kapilla dalam sebuah persembahan yang meraikan identiti seni dan budaya negeri Cik Siti Wan Kembang.

Pengarah Projek Konsert Kelate Ke KL 2026, Ayob Abd. Majid berkata, penganjuran tersebut bukan sekadar sebuah konsert, sebaliknya platform untuk memperkenalkan keunikan seni Kelantan kepada masyarakat di seluruh negara.

“Konsert Kelate Ke KL 2026 bukan bersifat kenegerian, tetapi lebih kepada meraikan identiti, seni dan budaya Kelantan yang telah menyumbang kepada industri hiburan dan pelancongan dengan cara tersendiri.

“Selain memiliki barisan penyanyi komersial seperti Datuk Nora dan Misha Omar, Kelantan juga mempunyai ramai penyanyi yang membawa lagu-lagu dialek tempatan yang sentiasa dekat di hati peminat.

“Atas sebab itu, Natriya Enterprise bersama Ikarl Project dan Irama Entertainment mengambil inisiatif menganjurkan konsert ini dengan membawa Eda Ezrin, Rosalinda, Adik Waniey, Man Khan, Den Manjo, Fendi Kenali dan Aris Kapilla sebagai wakil generasi baharu muzik Kelantan ke ibu kota,” katanya.

Menurut Ayob, konsert tersebut bukan hanya dikhususkan kepada anak Kelantan, sebaliknya terbuka kepada semua pencinta muzik tanah air.

“Konsert Kelate Ke KL 2026 bukan hanya untuk orang Kelantan. Ia adalah pesta buat semua peminat muzik untuk meraikan kepelbagaian seni Malaysia, khususnya kesenian Kelantan yang unik,” ujarnya.

Beliau berkata, pemilihan kesemua penyanyi terbabit dibuat kerana mereka dilihat memainkan peranan penting dalam memastikan lagu-lagu dialek Kelantan terus mendapat tempat dalam kalangan peminat.

Dalam masa sama, pihak penganjur turut menjanjikan pelbagai kejutan termasuk penampilan khas serta pengisian budaya yang akan diumumkan menjelang hari konsert.

Tiket Konsert Kelate Ke KL 2026 mula dijual bermula hari ini pukul 1 petang menerusi platform ilassotickets.com, manakala tempahan awal turut boleh dibuat melalui WhatsApp di talian +6011-13297822.

Konsert anjuran Natriya Enterprise dengan kerjasama Ikarl Project serta sokongan Irama Entertainment itu dijangka menjadi antara acara terbesar yang meraikan muzik dan budaya Pantai Timur di ibu kota tahun ini.

Anda mungkin berminat dengan

Skechers Unisex CNY Short Sleeve Tee

Skechers Unisex CNY Short Sleeve Tee

adidas Football Argentina 26 Home Jersey Men White JM8396

adidas Football Argentina 26 Home Jersey Men White JM8396

现货 kissy 新款无痕聚拢无钢圈内衣 反重力提拉 收副乳 KISSY New Seamless Push Up Bra Wireless Soft Support Anti Gravity Tummy Control Back Smoothing Fixed Cup

现货 kissy 新款无痕聚拢无钢圈内衣 反重力提拉 收副乳 KISSY New Seamless Push Up Bra Wireless Soft Support Anti Gravity Tummy Control Back Smoothing Fixed Cup

JDT Roundneck Tiger Claw 1067 Red

JDT Roundneck Tiger Claw 1067 Red

adidas Real Madrid Terrace Icons T-Shirt

adidas Real Madrid Terrace Icons T-Shirt

VELOCITY Tri-Blend Running T-Shirt Men in Green Terrain/Heather by PUMA

VELOCITY Tri-Blend Running T-Shirt Men in Green Terrain/Heather by PUMA

Must Watch Video

Advertisement