Biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dengan tenang dan berhemah menjawab persoalan tentang seorang penganjur acara yang didakwa mengkritik penganjuran Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza sebagai membosankan kerana mengulang konsep yang sama.
Menurut puspita hati negara yang sudah tiga dekad berkecimpung dalam bidang seni, beliau menerima baik kritikan yang diberi namun sebagai pemain industri, jangan sampai merendahkan antara satu sama lain.
“Kita jangan ada rasa kita lebih bagus, kita lebih baik. Bagi saya industri kita tak besar mana, kita akan jumpa juga.
“Jika kita ada sesuatu yang kurang manis untuk diperkatakan, tidak elok untuk diperkatakan, tak perlu di situ (media sosial) untuk merendahkan orang lain.
“Kita saling sokong menyokong itu lebih bagus,” ujar penyanyi nombor satu negara itu.
Siti ditemui pada majlis sambutan hari lahir ke-47 beliau dan penghargaan media yang menyokong 30 tahun karier seni Siti, anjuran SN Legacy Sdn. Bhd di Monstera Hall, Forest Valley, Cheras, malam tadi.
Pada pertemuan sama, Siti juga menitipkan pesanan agar pemain industri tidak menggunakan platform media sosial sebagai medan untuk meluahkan sesuatu yang ‘tidak manis’.
“Luahan itu saya mungkin tak baca tapi ada orang yang baca dan akhirnya saya pun tahu.
“Jadi itu tidak bagus dan tak perlu pun sebenarnya tulis di media sosial. Kita raikan saja,” katanya lagi.
Mengulas lanjut tentang dirinya kerap menerima kritikan dan komen kurang memberangsangkan yang diterima usai melakukan sesebuah pekerjaan, pelantun lagu Cindai itu mengakui sudah terbiasa dan menyifatkannya sebagai asam garam dunia hiburan.
“Sebagai seorang anak seni kita memang tidak akan terlepas daripada pelbagai komen dan saya tidak boleh memuaskan hati semua orang.
“Semua orang ada pandangan masing-masing dan saya sangat terbuka menerimanya.
“Sudah 30 tahun dalam industri saya sudah matang menilai setiap komen yang diberikan. Jadi daripada diri saya, saya sudah berikan yang terbaik.
“Sama seperti Konsert Legacy 30 Tahun Siti Nurhaliza kerana semua pihak telah memberikan komitmen yang terbaik,” kata Siti.
Terdahulu Konsert Legacy 30 Tahun Siti Nurhaliza yang berlangsung pada 10 Januari lalu di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur menjadi perdebatan hangat dalam kalangan peminat mengenai kualiti penganjuran yang disifatkan tidak mencerminkan tiga dekad perjalanan seni beliau.
Konsert tersebut bagaimanapun melakar sejarah apabila dihadiri sekitar 63,000 penonton yang terdiri dalam kalangan SitiZoners daripada beberapa negara Asia selain Malaysia iaitu Singapura, Brunei dan Indonesia.