Sekilas
- Konsert Malam Qolbu akan diadakan pada 24 Ogos 2026 di Idealive Kuala Lumpur sebagai sambutan Maulidur Rasul dengan persembahan muzik Islamik dan elemen dakwah.
- Konsert ini menampilkan artis terkenal seperti Opick, Mawi, Rabbani, UNIC dan The Rayhan serta disertai dengan penceritaan sirah dan selawat Nabi.
- Tiket dijual bermula RM250 hingga RM350 dengan harga khas pelajar, dan acara ini disokong oleh ZAYAN, Gempak, Salam Musik serta Royal Chulan The Curve sebagai penaja hotel rasmi.
Bersempena sambutan Maulidur Rasul, sebuah inisiatif istimewa bakal menghimpunkan masyarakat dalam satu malam yang sarat dengan kecintaan kepada Rasulullah SAW menerusi penganjuran Konsert Malam Qolbu pada Ogos depan.
Penganjuran ini bukan sekadar sebuah persembahan muzik Islamik, tetapi satu amanah besar yang dipikul oleh penganjur dan para penggiat seni untuk mengajak masyarakat kembali mengingati junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Menurut wakil penganjur, penganjuran Konsert Malam Qolbu lahir daripada rasa tanggungjawab dan kecintaan kepada Rasulullah SAW, yang dirasakan perlu diterjemahkan melalui platform yang dekat dengan masyarakat masa kini.
"Kami melihat penganjuran ini sebagai satu amanah yang sangat besar. Tanpa Rasulullah SAW, kita tidak akan mengenal Islam seperti hari ini.
“Maka menjadi satu kebanggaan buat kami apabila diberi peluang untuk menganjurkan sebuah majlis yang mengajak masyarakat berselawat, mengenang sirah Baginda dan menyemarakkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW.
“Mungkin usaha ini kecil, tetapi jika ia mendapat keredaan Allah dan menjadi sebab kita memperoleh syafaat Rasulullah SAW, maka itu adalah sesuatu yang amat bernilai buat kami,” jelasnya.
Dalam pada itu, penganjur juga turut menyeru agar masyarakat melihat kehadiran ke Konsert Malam Qolbu sebagai satu bentuk pelaburan untuk akhirat, selain menjadi ruang untuk mengisi jiwa dengan perkara yang membawa manfaat.
"Dalam kehidupan ini kita sentiasa melabur untuk dunia. Namun sesekali, marilah kita melabur untuk saham akhirat.
“Setiap selawat, setiap doa, setiap ilmu dan peringatan yang diperoleh pada malam tersebut mudah-mudahan menjadi amal yang berpanjangan dan memberi ganjaran yang berlipat ganda,” ujarnya.
Mengangkat konsep Islamik Nusantara Musik, Konsert Malam Qolbu akan menampilkan persembahan daripada Opick, Mawi, Rabbani, UNIC dan The Rayhan.
Disusun juga dengan penceritaan yang menyentuh jiwa melalui Gimik Pembukaan Sirah & Cahaya, segmen Interlude Pantomim dan Visual Poetry serta penutupan penuh makna menerusi alunan Selawat Nabi.
Penganjur juga berharap Konsert Malam Qolbu dapat membuka lembaran baharu dalam penganjuran hiburan Islamik di Malaysia mampu mendapat tempat dalam kalangan masyarakat pelbagai lapisan usia, termasuk generasi muda.
"Di negara jiran seperti Indonesia, program dan konsert Islamik mampu mendapat sambutan luar biasa sehingga disiarkan secara langsung di televisyen dan mendapat rating yang tinggi.
“Kami percaya Malaysia juga mempunyai masyarakat yang dahagakan pengisian sebegini.
“Anak-anak muda hari ini bukan sahaja mampu menganjurkan acara hiburan, malah mampu menjadi penggerak kepada program yang membawa manfaat kepada ummah,” ulasnya.
Konsert ini turut mendapat sokongan daripada ZAYAN sebagai radio rasmi, manakala Gempak dan Salam Musik sebagai rakan media digital.
Royal Chulan The Curve pula tampil sebagai penaja hotel rasmi.
Urusan penjualan tiket dikendalikan oleh Ticketmelon dan Fantopia, dengan harga tiket bermula dari RM250 hingga RM350.
Harga tiket khas pelajar turut disediakan dan boleh didapati menerusi laman web Ticketmelon dan Fantopia.
Konsert Malam Qolbu merupakan hasil kolaborasi antara Duyufurrahman Travel & Tours Sdn Bhd dan Aftermusic Project, dengan kerjasama strategik daripada Laskar Entertainment.
Gabungan ketiga-tiga pihak ini bertujuan merealisasikan sebuah penganjuran yang bukansahaja menghiburkan, malah membawa mesej dakwah, kerohanian dan kecintaan kepada Rasulullah SAW kepada masyarakat.
Duyufurrahman juga diperkuatkan dengan barisan tenaga muda berpengalaman dalam bidang Haji dan Umrah, termasuk Mualim Muda Anas, juara Mualim Muda Musim Pertama, serta Mualim Muda Ashraf, finalis program tersebut yang membawa pendekatan lebih dekat dan berjiwa pendakwah dalam setiap inisiatif syarikat.
Konsert Malam Qolbu, yang akan berlangsung pada 24 Ogos 2026 di Idealive Kuala Lumpur.
Untuk maklumat lanjut dan pembelian tiket, layari: https://www.ticketmelon.com/ danhttps://www.fantopia.io/