Sekilas
- Mia Sara Nasuha mengakui kontroversi awal tahun ini memberi banyak pengajaran walaupun menerima pelbagai komen negatif.
- Pelakon itu bersyukur kerana masih ada yang memahami mesej yang ingin disampaikannya dan kini tidak peduli dengan kata-kata orang.
- Mia memilih untuk terus melangkah ke hadapan tanpa mengambil pusing kritikan di media sosial selagi ia tidak disampaikan secara berdepan.
Kontroversi yang tercetus sekitar awal tahun ini memberikan banyak pengajaran kepada pelakon Mia Sara Nasuha.
Menerusi temu buat bersama program hiburan baru-baru ini, Mia mengakui pada awalnya dia berdepan pelbagai komen negatif dan kebencian susulan insiden berkenaan.
Bagaimanapun, pelakon itu bersyukur kerana di sebalik kecaman diterima, masih ada individu yang cuba memahami perkara yang ingin disampaikannya.
“Sudah tentu insiden yang berlaku, saya banyak belajar. Pada mulanya, ia penuh kebencian tetapi sebenarnya saya dapat banyak komen di mana orang mula memahami apa yang saya cuba sampaikan.
“Cukup sekadar masih ada yang nak dengar apa yang saya betul-betul nak cakap, saya okay saja. Dan selebihnya, saya okay. Sebenarnya, saya lebih baik sekarang.
“Sekarang saya benar-benar tidak peduli apa yang orang nak cakap tentang saya lagi. Ia satu perkara yang baik. Saya gembira ia berlaku,” katanya.
Dalam pada itu, Mia menyifatkan kontroversi tersebut sebagai satu pengalaman yang membuka matanya terhadap orang di sekeliling.
“Yang penting saya nak cakap, saya sangat gembira dengan insiden itu sebab Alhamdulillah, Tuhan bukakan mata saya dan saya sedar nampak ramai sangat orang yang… malas nak cakap tapi Allah buka mata saya sebesar-besarnya,” ujarnya.
Ditanya mengenai perancangannya untuk meneruskan kehidupan pada masa akan datang, Mia berkata dia memilih untuk terus melangkah tanpa terlalu memikirkan kata-kata orang.
Menurutnya, selagi komen atau kritikan hanya dilemparkan di media sosial dan tidak disampaikan secara berdepan, dia tidak mahu mengambil pusing perkara tersebut.
“Saya jalan saja ke depan. Saya buat apa saja yang saya mahu lakukan dan pergi mampus dengan orang lain. Korang nak kacau saya? Kacau saja la, terimalah padahnya.
“Orang nak cakap fasal saya ke, apa saja, selagi dia tak cakap depan muka saya, dia cakap setakat dekat laman sosial, saya tak kisah. Dipersilakan,” katanya lagi.