Skip to main content

Hiburan

Kos Belanja Cecah RM500,000, Aeril Zafrel Syukur Dapat Bantu ‘Renovate’ Masjid Di Kampung Halaman - “Moga Para Kariah Dapat…”

Aeril Zafrel

Sekilas

  • Aeril Zafrel bersyukur kerana projek renovasi masjid di kampung halamannya hampir siap dan dijangka boleh digunakan menjelang Ramadan.
  • Kos renovasi masjid tersebut menelan belanja hampir setengah juta ringgit dan melibatkan pelbagai pihak termasuk kerajaan.
  • Aeril merancang untuk meneruskan usaha renovasi masjid atau surau di lokasi lain selepas musim perayaan nanti.

Pelakon, Aeril Zafrel meluahkan rasa syukur kerana niatnya untuk membantu memperbaiki rumah ibadah di kampung halamannya tercapai meskipun peracangannya untuk membina sebuah masjid terpaksa ditangguhkan.

Aeril atau nama sebenarnya Suhairil Sunari berkata, keputusan itu dibuat kerana mahu memberikan keselesaan kepada masjid tersebut ditambah pula dengan sambutan bulan Ramadan yang bakal menjelma tidak lama lagi.

“Alhamdulillah kita sudah mulakan renovasi di sebuah masjid di kampung saya. Cadangan asalnya kita nak baik pulih sebuah masjid yang baharu. Namun, bila kita lihat semula, ada banyak proses yang perlu dilalui.

“Masjid yang lama juga masih ada orang-orang yang infaq. Jadi, timbul dilema di situ. Bila ada yang infaq dan mereka sudah beli bahan-bahan binaan, kalau kita ganti yang baharu, bahan yang lama ini tidak akan digunakan.

“Bila berbincang semula, proses-proses ini turut melibatkan banyak pihak termasuklah kerajaan. Jadi, kita renovasi dahulu mana lebih utama dan memerlukan agar para kariah dapat merasai keselesaan,” katanya kepada Gempak.

Aeril berkata demikian ketika ditemui di kejohanan WHAM Pickleball With The Star di Shah Alam, baru-baru ini.

Ketika ditanya mengenai kos perbelanjaan, suami kepada aktres Wawa Zainal ini mendedakhan kos renovasi menelan belanja hampir setengah juta ringgit.

“Kos renovasi itu mencecah hampir setengah juta ringgit. Proses renovasi itu pun sudah hampir siap. Namun, ada beberapa penambahan yang perlu dilakukan. Saya juga perlu menambah sedikit lagi wang berdasarkan keperluan.

“InshaAllah menjelang Ramadan ini, masjid itu sudah boleh diguna pakai,” ujarnya lagi.

Bercerita lanjut, Aeril memaklumkan dia bercadang untuk meneruskan lagi usaha sebegini di beberapa lokasi yang lain pula.

“Walaupun bukan semua orang dapat pergi ke masjid itu, namun kami akan cuba teruskan usaha sama ini ke masjid-masjid di tempat lain pula.

“Ketika ini, kami juga sedang sibuk. Selepas raya nanti, kita akan cari lagi masjid atau surau yang perlukan renovasi,” akhirinya.

Sebelum ini, Aeril dan Wawa mendedahkan mereka sudah pun mempersiapkan dana berjumlah RM1.2 juta untuk membina sebuah masjid baharu di Johor.

Must-Watch Video

Advertisement