Media sosial dikejutkan dengan berita bekas anggota EXO, Kris Wu yang cukup popular dalam dunia K Pop dan C Pop, meninggal dunia dalam penjara.
Berita mengejutkan itu pertama kali disebarkan oleh seorang pengguna Weibo, platform media sosial terbesar China. Pengguna tersebut mendakwa dirinya bekas rakan ‘sebilik’ Wu. Artis itu didakwa meninggal dunia tanpa butiran terperinci.
Menurutnya lagi, dia mendengar khabar tersebut daripada seorang pengawal penjara beberapa hari lalu, Wu maut selepas gagal memenuhi permintaan daripada ‘geng’ di dalam tahanan sama, lapor The Korea Times.
Khabar itu tersebar dengan sangat cepat di media sosial sehingga pihak polis terpaksa mengeluarkan kenyataan dalam usaha meredakan keadaan penyebaran berita tersebut.
Polis Daerah Jiangsu menyifatkan khabar tersebut sebagai penyebaran berita palsu. Lantaran itu pihak berkuasa menyeru agar semua pengguna media sosial berhenti berkongsi berita palsu tersebut untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil mengikut undang-undang China.
Kris Wu sedang menjalani hukuman penjara 13 tahun selepas didapati bersalah kerana melakukan jenayah seks pada tahun 2023.