Sekilas
- KRU Entertainment memperkenalkan 18 acara menarik di Aneka Walk sehingga penghujung 2026 melalui Temasya Aneka, menampilkan muzik, seni, budaya, gastronomi dan aktiviti keluarga.
- Acara utama termasuk ‘Kayangan’, persembahan budaya dan sajian tradisional Melayu yang akan diadakan setiap Jumaat hingga Ahad mulai September 2026.
- Temasya Aneka juga memperkenalkan penyewa baru seperti Kek Lapis Warisan dan KRU Cafe, dengan sokongan promosi dari Astro Audio dan platform media sosial Aneka Walk.
KRU Entertainment memperkenalkan 18 acara yang bakal berlangsung di Aneka Walk sehingga penghujung 2026 menerusi Temasya Aneka, sebuah acara prebiu khas yang menghimpunkan barisan acara, tarikan dan penyewa utama di destinasi tersebut.
Penganjuran Temasya Aneka menandakan langkah baharu dalam usaha membangunkan Aneka Walk di SA Sentral sebagai Destinasi Gaya Hidup & Hab Kebudayaan, dengan pengisian merangkumi muzik, seni, budaya, gastronomi, hiburan serta aktiviti keluarga dan komuniti.
Menurut Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif KRU Entertainment, Datuk Norman Abdul Halim, pengisian secara konsısten merupakan antara strategi utama untuk memastikan Aneka Walk sentiasa menawarkan pengalaman baharu kepada pengunjung.
"Kami mahu buktikan kami bukan sekadar memperkenalkan Aneka Walk, tetapi apa yang bakal berlaku di sini dalam beberapa bulan akan datang.
“Sebanyak 18 acara telah dirancang sehingga penghujung 2026, dengan setiap acara menawarkan pengalaman dan sasaran pengunjung yang berbeza.
“Kami mahu sentiasa ada sebab untuk pengunjung datang dan kembali ke Aneka Walk," katanya.
Menjadi antara tarikan utama ialah ‘Kayangan’, sebuah pengalaman eksklusif yang menggabungkan persembahan budaya dengan sajian tradisional Melayu yang dikurasi oleh Datuk Chef Zam.
Persembahan sulung Kayangan, ‘Hikayat Nusantara’ pula membawa pengunjung menyusuri perjalanan sejarah dan budaya Nusantara menerusi gabungan penceritaan, persembahan langsung, muzik, tarian, visual dan pengalaman gastronomi.
Kayangan bakal menjadi persembahan mingguan utama Aneka Walk dengan tiga sesi setiap minggu pada malam Jumaat, Sabtu dan Ahad mulai 4 September 2026.
Hal ini sekali gus menjadi produk pelancongan budaya yang menyasarkan masyarakat tempatan serta pelancong domestik dan antarabangsa.
Selain itu, Temasya Aneka turut memperkenalkan barisan penyewa terawal yang bakal memperkukuhkan penawaran gastronomi di destinasi ini, termasuk Kek Lapis Warisan, yang mengetengahkan kek lapis sebagai produk warisan tempatan, serta KRU Cafe yang akan membuka outlet pertamanya di Aneka Walk.
Promosi bagi 18 acara sehingga penghujung 2026 turut mendapat kerjasama Astro Audio, selain menyediakan pakej pengiklanan kepada penyewa dan pempamer menerusi rangkaian radio serta platform media sosialnya.
Untuk maklumat lanjut, sila layari www.anekawalk.com atau ikuti platform media sosial Aneka Walk.