Sekilas
- Ed Sheeran kini menghadapi boikot selepas rapper Macklemore disingkirkan daripada baki siri jelajah Loop Tour di AS kerana kenyataan pro-Palestin.
- Beberapa stesen radio termasuk Classic Hits di Ireland dan Fly FM di Malaysia mengumumkan tidak akan memainkan lagu Ed Sheeran sebagai tanda sokongan kepada artis yang bersuara tentang isu Palestin.
- Kontroversi ini turut menyebabkan artis Ireland Aaron Rowe dan kumpulan Beoga menarik diri daripada baki persembahan jelajah Ed Sheeran.
Karier penyanyi popular Britain, Ed Sheeran, sedang berada di ambang ‘kehancuran’ apabila ‘dunia bersatu’ selepas kontroversi membabitkan rapper Macklemore yang disingkirkan daripada baki siri jelajah Loop Tour di Amerika Syarikat (AS).
Tidak hanya mula diboikot peminat, lagu-lagu milik Ed Sheeran juga tidak lagi dimainkan di beberapa stesen radio termasuk dunia dan tempatan.
Salah satunya adalah stesen radio Ireland, Classic Hits, yang mengumumkan pihaknya telah mengeluarkan lagu-lagu Ed daripada playlist bermula Khamis, 17 September dengan keputusan itu akan berkuat kuasa “untuk masa yang boleh dijangka”.
Menurut pihak stesen, keputusan berkenaan dibuat selepas menerima maklum balas yang ketara daripada pendengar, lapor Yahoo!.
Bagaimanapun, Group Programme Director Bay Broadcasting, Dave Kelly menegaskan tindakan tersebut bukanlah satu bentuk penghakiman peribadi terhadap penyanyi berusia 35 tahun itu.
“Kami telah mendengar dengan teliti reaksi daripada pendengar sejak beberapa hari kebelakangan ini. Kami juga menghormati keputusan artis Ireland, Aaron Rowe dan Beoga, untuk menarik diri daripada jelajah tersebut berhubung isu yang mereka rasakan sangat penting,” katanya.
Stesen radio tersebut juga menjelaskan Classic Hits percaya kepada keamanan, nilai kemanusiaan dan rasa hormat, selain hak setiap individu serta artis untuk menyuarakan dan bertindak berdasarkan pendirian yang mereka yakini.
Malah, stesen radio Malaysia, Fly FM, turut mengumumkan mereka tidak lagi memainkan lagu Ed Sheeran.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Fly FM menyatakan pendirian mereka untuk menyokong rakyat Palestin serta artis yang menggunakan platform mereka untuk menyuarakan sokongan terhadap isu tersebut.
Hantaran berkenaan turut memetik kontroversi Macklemore yang tidak lagi terlibat dalam baki persembahan Loop Tour Ed di AS.
Grafik yang dikongsikan Fly FM memaparkan Ed sambil membawa mesej: “Off our playlist! Some things matter more than music.”
“Anda mungkin sudah melihat berita mengenai Macklemore yang dikeluarkan daripada Loop Tour selepas bersuara mengenai Palestin.
“Kami mahu menjelaskan pendirian kami. Fly FM berdiri bersama rakyat Palestin. Dan kami berdiri bersama artis yang menggunakan suara mereka untuk apa yang mereka percayai,” tulis stesen berkenaan.
Fly FM turut menambah muzik sepatutnya menjadi medium untuk memberikan suara kepada seseorang, bukannya mengambil suara tersebut daripada mereka.
Langkah yang diambil Fly FM turut mendapat sokongan ramai pengguna media sosial.
Terdahulu, Macklemore sebelum ini disingkirkan daripada baki persembahan Loop Tour di AS selepas membuat kenyataan pro-Palestin ketika mengadakan persembahan di MetLife Stadium, New Jersey, awal bulan ini.
Rapper berkenaan mendakwa keputusan itu dibuat selepas perbincangan bersama Ed Sheeran.
Bagaimanapun, pihak penganjur, Messina Touring Group, menjelaskan lokasi untuk persembahan yang akan datang telah memaklumkan mereka tidak membenarkan konsert yang menampilkan Macklemore.
Pelantun Shape of You itu kemudian berkata keputusan tersebut dibuat oleh pihak penganjur selepas pemilik lokasi menyuarakan kebimbangan.
Sehingga artikel ini ditulis, Macklemore terus menyatakan sokongannya terhadap Palestin. Dia turut berjanji untuk mendermakan AS$1 juta (kira-kira RM4.08 juta) daripada pendapatannya menerusi jelajah tersebut kepada enam organisasi yang menyokong rakyat Palestin.
Macklemore juga menyeru pemilik pasukan New England Patriots, Robert Kraft, untuk memadankan jumlah sumbangan berkenaan.
Kontroversi tersebut turut menyaksikan artis Ireland, Aaron Rowe dan kumpulan Beoga mengambil keputusan untuk menarik diri daripada baki persembahan jelajah Ed Sheeran.