Sekilas
- Single terbaru Mila Jirin, 'Cukup Sudah Cukup', mula mendapat siaran di beberapa stesen radio utama Indonesia seperti Gen FM dan Prambors FM sebelum kempen besar di Malaysia.
- Lagu ini dihasilkan bersama komposer dan penulis lirik Indonesia, dengan proses produksi dilakukan sepenuhnya di Jakarta sebagai strategi memperkenalkan Mila kepada pendengar Indonesia.
- Mila akan mengadakan jelajah radio dan media di Jakarta dan Bandung pada Oktober untuk membina hubungan dan memperkenalkan muziknya secara perlahan-lahan di pasaran Indonesia.
Belum sempat menjalani kempen promosi berskala besar di Malaysia, single terbaharu Mila Jirin berjudul ‘Cukup Sudah Cukup’ mula mendapat perhatian di Indonesia.
Lagu kedua daripada album baharu Mila itu sudah mula diputarkan di beberapa stesen radio utama di republik berkenaan termasuk Gen FM dan Prambors FM.

Perkembangan tersebut cukup bermakna buat Mila yang kini mahu kembali membina momentum dalam bidang muzik, selain perlahan lahan memperkenalkan karya dan vokalnya kepada pendengar Indonesia.
Berbeza dengan single terdahulu, ‘Tersimpan Dalam Hati’, lagu ‘Cukup Sudah Cukup’ tidak dilancarkan menerusi sidang media atau acara khas di Malaysia.
Sebaliknya, lagu tersebut diedarkan serentak untuk pasaran Malaysia dan Indonesia sebagai sebahagian daripada strategi memperkenalkan karya daripada album baharunya secara berperingkat.
“Saya sangat bersyukur apabila dimaklumkan ‘Cukup Sudah Cukup’ sudah mula dimainkan di beberapa stesen radio di Indonesia termasuk Gen FM dan Prambors FM.
“Saya sedar perjalanan saya di Indonesia masih terlalu awal. Ramai mungkin belum mengenali siapa Mila Jirin, jadi apabila lagu dan suara saya terlebih dahulu diberikan ruang untuk didengarkan di sana, bagi saya itu satu permulaan yang sangat bermakna,” katanya.
Menariknya, ‘Cukup Sudah Cukup’ turut menyaksikan Mila bekerjasama dengan tenaga kreatif Indonesia apabila lagu berkenaan dicipta komposer Ilham Baso dengan lirik tulisan Aisah Rizky.
Keseluruhan proses produksi audio termasuk susunan muzik, rakaman dan pengarahan vokal serta proses mixing dan mastering dilakukan di Jakarta.
Bagi Mila, kerjasama tersebut membuka ruang untuknya meneroka lebih banyak kolaborasi di negara jiran itu.
“Fokus saya bukan untuk datang dengan cerita siapa saya di Malaysia, tetapi saya mahu pendengar di sana mengenali saya melalui lagu dan nyanyian terlebih dahulu,” katanya.
Bukan sekadar lagu, muzik video ‘Cukup Sudah Cukup’ juga dirakam sepenuhnya di Jakarta pada pertengahan Ogos lalu dan diarahkan oleh Wahyu Taufani Prialangga.

Mila seterusnya dijadualkan ke Jakarta dan Bandung pada Oktober ini bagi memulakan siri jelajah radio serta bertemu media tempatan.
“Saya mahu pergi sendiri dan bertemu dengan radio serta media di sana. Saya mahu memperkenalkan muzik saya secara perlahan-lahan dan membina hubungan dengan mereka.
“Saya tidak meletakkan sasaran untuk terus dikenali dalam masa yang singkat. Saya mahu bina perjalanan ini dengan betul,” katanya.
Dalam pada itu, ‘Cukup Sudah Cukup’ merupakan lagu kedua yang bakal dimuatkan dalam album baharu Mila yang dijadualkan dilancarkan pada penghujung tahun ini.
Album berkenaan menandakan fasa baharu perjalanan muzik Mila selepas kembali aktif dalam dunia rakaman dan bakal menampilkan beberapa kolaborasi bersama tenaga kreatif dari Malaysia serta Indonesia.
“Malaysia akan sentiasa menjadi rumah saya dan tempat perjalanan seni saya bermula. Tetapi saya percaya muzik kita mempunyai ruang yang lebih luas untuk bergerak di rantau ini.
“Kalau ‘Cukup Sudah Cukup’ menjadi antara lagu yang membuka pintu perjalanan saya di Indonesia, saya sangat bersyukur,” katanya.