Sekilas
- Hamzah, juara Vokalis Peterpan ERA, teruja dan bersyukur dapat peluang berkongsi pentas dengan kumpulan legenda Indonesia, Peterpan.
- Hamzah berjaya menewaskan empat peserta lain dengan persembahan lagu ikonik Peterpan, Mungkin Nanti, dalam pertandingan sempena promosi konsert The Journey Continues - Peterpan, Semua Tentang Kita.
- Konsert tersebut akan berlangsung pada 11 Julai di Idea Live Arena, Petaling Jaya, menampilkan anggota asal Peterpan dan artis jemputan terkenal dari Indonesia serta Hael Husaini.
Peserta Vokalis Peterpan ERA, Hamzah mengakui masih sukar buatnya untuk percaya selepas dinobatkan sebagai juara pertandingan tersebut sekali gus merealisasikan impiannya untuk berkongsi pentas bersama kumpulan legenda Indonesia itu.
Menurut Hamzah atau nama lengkapnya Amirul Hamzah Sarkawi, 35, menyifatkan peluang tersebut sebagai antara detik paling bermakna dalam perjalanan seninya.
“Pertama sekali, Alhamdulillah. Terima kasih kepada semua yang dah support tapi sebenarnya saya masih lagi speechless tapi saya sangat bersyukur dapat dipilih untuk jadi vokalis Peterpan.
“Sebab Peterpan ini adalah salah satu bang yang buat saya bermain muzik. Jadi lagu Mungkin nanti adalah lagu pertama yang saya main gitar sewaktu saya kecil dahulu.
“Ini adalah satu batu loncatan untuk saya lebih ke depan, sebab saya juga salah seorang penyanyi di Sarawak. Saya tak akan sia-siakan peluang ini untuk lebih maju ke hadapan dan hiburkan semua orang yang sentiasa sokong saya,” katanya kepada Gempak.
Dalam masa sama, Hamzah mengakui tetap berdebar untuk beraksi di pentas yang sama dengan kumpulan yang menjadi inspirasi sejak zaman kanak-kanaknya.
“Masih nervous juga tapi gembira. Sebab ini pertama kali menyanyi bersama Peterpan, band yang saya dengar dari kecil. Takut juga tidak memuaskan hati semua orang yang datang.
“Tapi saya harap saya dapat buat yang terbaik nanti,” tambahnya.
Terdahulu, Hamzah berjaya muncul juara selepas menewaskan empat peserta lain menerusi pertandingan yang berlangsung sempena promosi Konsert The Journey Continues - Peterpan, Semua Tentang Kita.
Hamzah memukau barisan juri menerusi persembahan lagu ikonik Peterpan, Mungkin Nanti, sekali gus melayakkan dirinya membawa pulang peluang istimewa untuk membuat persembahan bersama kumpulan legenda Indonesia itu di pentas Idea Live Arena.
Sekadar info, Konsert The Journey Continues - Peterpan, Semua Tentang Kita dijadual berlangsung pada 11 Julai depan di Idea Live Arena, Petaling Jaya.
Persembahan tersebut bakal menampilkan anggota asal Peterpan iaitu Reza, Loekman, Andika dan Indra.
Turut memeriahkan konsert berkenaan ialah barisan artis jemputan terkenal Indonesia seperti Marcello Tahitoe, Tantri Syalindri, Rony Parulian, Arda Hatna dan Charly Van Houten.
Penyanyi popular tanah air, Hael Husaini turut diumumkan sebagai antara artis jemputan yang bakal membuat penampilan istimewa pada malam tersebut.