Sekilas
- Datuk Seri Aliff Syukri dan usahawan media sosial Pinn Yang bertemu secara tidak dirancang dan berkongsi pengalaman dalam dunia perniagaan serta pemasaran digital.
- Aliff menerima tawaran untuk bersama-sama menjayakan Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia (KHPM) 2026 yang akan berlangsung di Pulau Pinang pada 26 dan 27 September.
- KHPM 2026 akan menghimpunkan usahawan PKS dan pemain industri dengan pelbagai aktiviti termasuk perbincangan panel, perkongsian ilmu, serta persembahan artis tempatan.
Hasrat usahawan terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri untuk bertemu personaliti media sosial dan usahawan, Pinn Yang akhirnya menjadi kenyataan apabila kedua-duanya dipertemukan secara tidak dirancang baru-baru ini.
Aliff berkata, dia sudah lama mengikuti Pinn yang dikenali menerusi perkongsian mengenai dunia perniagaan dan kandungan digital khususnya di platform TikTok.
Justeru, pertemuan tersebut dianggap cukup bermakna apabila mereka bukan sahaja berpeluang berkenalan, malah sempat bertukar pandangan dan pengalaman mengenai dunia keusahawanan.
“Saya memang sudah lama teringin untuk bertemu Pinn Yang. Apabila pertemuan ini berlaku secara tidak sengaja, saya rasa sangat teruja kerana kami dapat berkongsi pandangan dan pengalaman dalam dunia perniagaan.
“Pada masa yang sama, saya turut menerima tawaran daripada pihak Pinn Yang untuk bersama-sama menjayakan Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia (KHPM) 2026, yang buat julung kalinya akan berlangsung di Pulau Pinang,” katanya.
Pertemuan itu turut membuka ruang buat Aliff dan Pinn berkongsi pandangan mengenai pemasaran digital serta bagaimana kandungan media sosial boleh dimanfaatkan dalam membina sesebuah jenama.
Bagi Pinn pula, pertemuan pertamanya dengan Aliff memberikan pengalaman positif apabila mengakui wujud keserasian antara mereka.
“Apabila pertama kali bertemu dengan Dato’ Seri Aliff Syukri, saya dapat merasakan chemistry yang baik antara kami. Saya sangat kagum dengan personaliti beliau dalam bidang perniagaan, selain kandungan yang dihasilkan di media sosial.
“Banyak perkara yang kami kongsikan dan bincangkan bersama, terutamanya berkaitan pengalaman dalam dunia perniagaan serta bagaimana media sosial boleh dimanfaatkan untuk membina jenama,” katanya.
Tidak terhenti pada pertemuan tersebut, Aliff dan Pinn bakal berkongsi pentas menerusi KHPM 2026 yang buat pertama kalinya akan dianjurkan di Pulau Pinang.
Karnival selama dua hari itu dijadualkan berlangsung pada 26 dan 27 September ini di Stadium Batu Kawan.
KHPM 2026 bakal menghimpunkan pemilik Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), usahawan, persatuan serta pemain industri dari seluruh Malaysia.

Antara pengisian yang disediakan termasuk perbincangan panel, sesi pembentangan perniagaan, perkongsian ilmu serta peluang membina jaringan dalam kalangan peserta.
Selain pengisian keusahawanan, acara tersebut turut menampilkan persembahan beberapa penyanyi tempatan termasuk Ella, Ara Johari, Shasha Rizal, Wany Hasrita, Nabila Razali dan Nuha Baharin.
KHPM 2026 dianjurkan Monie, sebuah jenama di bawah Foodie Media Berhad bersama Spire Digital dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).