Sekilas
- Konsert Rumah Hati di Mega Star Arena, Kuala Lumpur, menampilkan kolaborasi unik antara penyanyi Indonesia Fabio Asher dan Nadhif Basalamah yang menarik ribuan penonton dengan tema busana merah, putih, dan beige.
- Persembahan mereka membawa penonton menyelami emosi melalui lagu-lagu galau yang dekat dengan pengalaman cinta dan luka, termasuk segmen menyentuh 'Surat Untuk Rumah Hati' yang membacakan surat peminat.
- Konsert berakhir dengan suasana meriah apabila Fabio turun ke penonton dan persembahan gabungan lagu popular, menegaskan bahawa lagu sedih juga menjadi ruang untuk memahami perasaan sebelum meneruskan kehidupan.
Bukan sekadar menghimpunkan dua penyanyi Indonesia yang sedang menjadi kegilaan ramai dalam sebuah acara, Konsert Rumah Hati ternyata menjadi ruang buat ribuan penonton meraikan luka, cinta dan kenangan yang selama ini tersimpan dalam diam.
Berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur, konsert yang menemukan Fabio Asher dan Nadhif Basalamah itu cukup meriah apabila menerima kehadiran ribuan penonton yang memenuhi ruang acara.
Malah, bahagian berdiri dilihat padat dengan peminat dari barisan paling hadapan sehingga ke belakang.
Lebih menarik, rata-rata peminat tampil menyahut seruan penganjur dengan menggayakan busana bertemakan merah, putih dan rona beige, mewujudkan lautan warna yang melengkapkan konsep konsert tersebut.
Mengangkat tema Satu Rasa Dua Cerita, Konsert Rumah Hati bukan sekadar menyatukan dua penyanyi yang memiliki identiti muzik berbeza, tetapi membawa penonton menyelami sebuah perjalanan emosi yang cukup dekat dengan kehidupan.
Lebih istimewa, kolaborasi Fabio dan Nadhif di Kuala Lumpur merupakan sesuatu yang belum pernah direalisasikan di negara asal mereka sendiri.
Dua cerita, satu rasa
Seawal kemunculan kedua-duanya menerusi persembahan pembukaan Overture, aura Fabio dan Nadhif sudah cukup membuatkan seluruh arena bergema dengan sorakan.
Selepas membuka tirai bersama, Nadhif mengambil alih pentas menerusi rangkaian lagu seperti After School Sad Session – Semoga Kau Bisa Maafkanku, Sesuatu, Wonder In Time, Something More dan Penuh.
Nadhif tidak perlu berusaha terlalu keras untuk ‘memancing’ perhatian kerana setiap bait lagunya sudah cukup kuat untuk membuatkan penonton menyanyi bersama.
Hakikatnya, kekuatan penyanyi itu bukan sekadar terletak pada lagu Penjaga Hati yang pernah mencetuskan fenomena, tetapi kemampuannya menjadikan karya-karya lain turut terasa dekat dan peribadi kepada pendengar.
Terharu dengan sambutan peminat Malaysia, Nadhif mengakui sudah lama mengimpikan peluang untuk melakukan persembahan sedemikian.
“Sejak di bangku sekolah, saya impikan peluang ini. Kalian sangat ‘keras’ sekali. Terima kasih,” katanya ketika berucap di atas pentas.
Selepas Nadhif, giliran Fabio pula mengambil alih ruang dengan himpunan lagu yang cukup sinonim dengan jiwa-jiwa patah hati.
Menerusi gabungan lagu Mahir dan Bisakah, diikuti Medley Galau yang menghimpunkan Hati Lain Di Hatimu, Setia Menunggu serta Boleh Kau Adu, suasana arena bertukar menjadi sebuah sesi nyanyian beramai-ramai.
Fabio kemudian meneruskan persembahan dengan Tanpa Balasmu, Hujan Hari Ini dan Bertahan Terluka sebelum Nadhif kembali menyertainya menerusi lagu Semusim.
Keserasian mereka diteruskan dalam lagu Aku Berjanji sebelum Nadhif kembali dengan Jatuh Cinta Lagi, Jika Kau Lelah Denganku, Seperti Semula, serta lagu yang tular di platform TikTok Bergema Sampai Selamanya dan Penjaga Hati.
Biarpun mempunyai pendekatan muzik dan karakter vokal yang berbeza, penyatuan mereka tidak terasa janggal.
Sebaliknya, perbezaan tersebut menjadi kekuatan utama konsert apabila penonton dibawa bertukar-tukar daripada emosi Nadhif yang lebih tenang dan puitis kepada luahan Fabio yang terus-terang serta sarat kepedihan.
Fabio kembali menguasai pentas menerusi Pelangi, Nikmati Sakitnya, Berharap Kau Kembali, Tanpa Rasa Bersalah dan lagu hit nya Rumah Singgah.
Sememangnya, sukar untuk menafikan bahawa Fabio cukup memahami kelompok peminatnya.
Dia tahu sebahagian besar daripada mereka hadir bukan hanya mahu mendengar lagu secara langsung, tetapi mahu meluahkan segala perasaan yang mungkin sukar diterjemahkan menerusi kata-kata.
“Terima kasih untuk malam ini, terima kasih untuk waktunya. Ini keringat saya ya (di atas pentas), bukan air mata.
“Kalau ada yang mahu menangis bersama saya hari ini, boleh sahaja.
“Terima kasih kepada kalian yang tidak pernah bosan datang menonton saya,” ujarnya berseloroh, namun tetap mengundang jeritan daripada peminat.
Ucapan itu secara tidak langsung menggambarkan keseluruhan perjalanan konsert berkenaan.
Ada penonton yang datang untuk berseronok, ada yang mahu menyanyi sekuat hati dan barangkali tidak kurang juga yang hadir untuk mencari sedikit ketenangan menerusi lagu-lagu yang pernah menemani saat sukar mereka.
Selain persembahan muzik, antara segmen paling menyentuh hati adalah Surat Untuk Rumah Hati.
Menerusi segmen tersebut, beberapa surat yang dihantar peminat sebelum konsert berlangsung dibacakan di atas pentas.
Setiap surat mengandungi cerita dan penghargaan terhadap karya Fabio serta Nadhif, termasuk bagaimana lagu-lagu mereka membantu peminat berdepan dengan pelbagai fasa kehidupan.
Ada yang menjadikan lagu mereka sebagai peneman ketika kecewa, melalui kehilangan atau ketika sedang belajar menerima bahawa tidak semua perkara dalam kehidupan akan berakhir seperti yang diharapkan.
Turun bersama peminat
Ketika konsert menghampiri penghujung, Fabio sekali lagi mencetuskan keterujaan apabila muncul dan berjalan di sekitar bahagian penonton yang duduk di bahagian belakang hingga naik ke atas pentas semula untuk menyanyi lebih dekat bersama peminat.
Tindakannya itu membuatkan bahagian bawah arena semakin gamat apabila penonton cuba merakam momen berkenaan sambil menyanyi bersamanya.
Momen tersebut mungkin kelihatan sederhana, namun cukup meninggalkan kenangan kepada peminat yang bukan sahaja dapat menyaksikan penyanyi kesayangan mereka dari jauh, malah merasai keakraban yang cuba diwujudkan Fabio.
Konsert kemudian ditutup dengan persembahan gabungan lagu yang sedang tular Kota Ini Tak Sama Tanpamu dan Akhir Yang Manis yang disampaikan kedua-duanya.
Pemilihan lagu berkenaan menjadi penutup yang tepat selepas penonton dibawa menelusuri pelbagai sisi emosi sepanjang malam.
Konser Rumah Hati membuktikan bahawa lagu galau bukan sekadar tentang meratapi perpisahan atau cinta yang tidak kesampaian.
Kadangkala, lagu-lagu sedih menjadi ruang paling selamat untuk seseorang memahami perasaan sendiri sebelum kembali meneruskan kehidupan.
Fabio dan Nadhif mungkin membawa dua cerita yang berbeza, tetapi pada malam itu, ribuan penonton berkongsi satu rasa yang sama.
Ternyata, setiap hati yang pernah terluka tetap memerlukan sebuah rumah untuk pulang.