Skip to main content

Hiburan

“Layak Ke Final? Satu Bebanan Sebenarnya Jadi Saya Kena Bekerja Keras” - Iskandar Ismail

Iskandar Ismail

Sekilas

  • Iskandar Ismail atau Eiss berjaya meraih markah tertinggi minggu kelima Gegar Vaganza 12 dengan lagu Kelentang-Kelentong, walaupun menghadapi cabaran suara sakit dan tema RNR yang unik.
  • Juri Hetty Koes Endang memuji Iskandar layak ke final, namun penyanyi itu menegaskan perlu terus berusaha dan menjaga kesihatan untuk capai impian tersebut.
  • GV12 diteruskan dengan 13 peserta dari Malaysia, Indonesia, dan Singapura, disiarkan secara langsung setiap Ahad di Astro Ria dan boleh distrim di Astro GO serta sooka.

Bintang Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) iaitu Iskandar Ismail tidak menyangka dirinya akan mendapat markah tertinggi bagi minggu kelima yang bertemakan RNR (Rare & Random) pada malam Ahad.

Walau bagaimanapun, Iskandar yang mesra disapa Eiss merasakan kejayaan itu merupakan hasil dari usaha penat lelahnya dengan melakukan persiapan seminggu sebelum membuat persembahan.

“Saya tak sangka dapat tempat pertama sebenarnya sebab malam ini (Ahad) temanya adalah kita perlu menyanyikan lagu yang 360 darjah daripada genre asal kami.

“Saya tak pernah dengar lagu Kelentang-Kelentong sebelum ini jadi bila dapat lagu itu, saya terfikir macam mana nak bawa lagi ini dengan tarian dan sebagainya.

“Kebetulan pula saya agak penat sikit minggu ini sebab suara saya sakit sikit. Penat mungkin sebab perlu menari tapi pada malam ini, Alhamdulillah, saya dapat menyampaikan lagu ini,” katanya kepada Gempak.

Ditanya mengenai pujian juri tetap, Hetty Koes Endang yang menganggap dirinya sudah layak ke final GV12, anak jati Singapura ini berasakan dia perlu bekerja keras demi merealisasikan impiannya itu.

“Satu bebanan sebenarnya bila mendapat komen sebegitu sebab kalau tak sampai ke peringkat akhir pun susah juga.

“Jadi, saya kena kerja keras setiap minggu dan dalam masa yang sama perlu menjaga kesihatan. Rehat pun kena cukup,” kongsinya.

Pada minggu kelima, Iskandar yang menyanyikan lagu Kelentang-Kelentong nyanyian asal Hael Husaini telah meraih pujian juri dan mengekalkan kedudukan pertama dengan markah 74.50 peratus.

Sementara itu, Shae dan Rahmat Ekamatra mendapat tempat dua terendah dengan masing-masing mengumpul markah keseluruhan sebanyak 59.50 peratus serta 56.00 peratus.

Walau bagaimanapun, Rahmat Ekamatra yang berada di kedudukan terendah berjaya menarik nafas lega apabila tiada penyingkiran diumumkan.  

13 bintang Gegar Vaganza musim ini adalah Nubhan, Mark Adam, Datuk Elaine Kang, Krisya, Korie, Rahmat Ekamatra, Mell Sakura dan Freshies (Ejie dan Shima).

Dari Indonesia, pentas GV12 turut diserikan dengan kehadiran Shae, Ruri Repvblik serta trio Mendua (Pungky, Sasha & Diana) yang membawa warna muzik tersendiri.

Sementara itu, Singapura tampil dengan bangga menerusi penyertaan Iskandar Ismail, nama yang cukup sinonim dengan keunggulan vokal dan karisma.

Menambah elemen misteri dan kejutan, SHY8 hadir sebagai peserta wildcard musim ini, menjanjikan sentuhan seni yang unik serta kejutan segar yang bakal mencetus fenomena baharu dalam GV-Verse.

Penganjuran Gegar Vaganza pada tahun ini masih mengekalkan Datuk Syafinaz Selamat, Hetty Koes Endang dan Datuk Ramli MS selaku juri.

Acara yang berlangsung selama 12 minggu ini akan dikendalikan oleh pengacara hebat Nabil Ahmad dan Sherry Alhadad.

Gegar Vaganza V12 bakal bersiaran secara langsung di MBSA Shah Alam mulai 2 November 2025, setiap Ahad, jam 9 malam, dan dipancarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria (saluran 104).

GV12 turut boleh disaksikan melalui strim secara On Demand di Astro GO dan sooka.  Langgan Pek Astro One, hanya RM49.99 sebulan.

Strim hiburan tanpa henti untuk seisi keluarga dan tingkatkan pengalaman penstriman anda dengan Astro Fibre 500Mbps beserta Pek Hiburan pada harga RM139.99 sebulan. Layari www.astro.com.myatau WhatsApp ke 03-9543 3838 untuk melanggan atau menaik taraf hari ini.

Must-Watch Video

Advertisement