Sekilas
- Layla Sania menghadapi cabaran menembusi pasaran hiburan Mandarin apabila kandungan bertudungnya sukar melepasi semakan di platform Douyin, China.
- Untuk mengatasi halangan itu, Layla menggunakan gaya turban, hoodie, dan topi sebagai alternatif ketika menghasilkan kandungan di Douyin.
- Masalah ini hanya berlaku di Douyin, manakala platform China lain seperti Weibo tidak menghadapi isu sama, dan Layla sedang berusaha memahami proses semakan kandungan tersebut.
Penyanyi dan pelakon Layla Sania mengakui berdepan cabaran tersendiri menembusi pasaran hiburan Mandarin, termasuk apabila beberapa kandungannya yang menampilkan imej bertudung didakwa sukar melepasi semakan platform media sosial China, Douyin.
Menurut Layla, 24, situasi tersebut membuatkannya mencari alternatif dari segi gaya pemakaian seperti menggunakan turban atau padanan hoodie dan topi ketika menghasilkan kandungan untuk platform berkenaan.
“Ada cabaran untuk Douyin, TikTok China. Kadang-kadang saya tak boleh ‘posting’ benda yang pakai tudung.
“Jadi saya pakai tudung macam ini, gaya turban sebab nampak lebih kepada fesyen. Kalau tudung penuh, pernah juga video kena ‘taken down’ atau tak lepas,” katanya.
Berkongsi lanjut, Layla berkata, masalah tersebut setakat ini hanya dialaminya di Douyin, manakala platform China lain seperti Weibo tidak memberikan masalah sama.
“Pernah juga kena sekali sebab saya pakai tudung. Kalau pakai hoodie dengan topi, okey, itu lepas. Turban macam ini pun lepas tetapi kalau tudung penuh kadang-kadang tak lepas.
“Setakat ini Douyin saja yang saya ada masalah untuk ‘posting’,” ujarnya ketika ditemui pada sidang media Anugerah Melodi Terhangat 2026 di Balai Berita, Bangsar, baru-baru ini.
Tambahnya, dia kini cuba mendapatkan penjelasan dan bekerjasama dengan pihak berkaitan bagi memahami proses semakan kandungan di platform tersebut.
Layla turut berpandangan kemungkinan terdapat kekangan pada sistem semakan automatik apabila kandungan yang tidak menyentuh isu agama atau sensitif juga kadangkala gagal diterbitkan.
“Saya rasa mungkin ada ‘glitch’ pada AI dia. Kadang-kadang benda yang saya teruja nak kongsi, bila letak dekat Douyin tak lepas.
“Kalau empat video, mungkin satu atau dua video tak lepas. Tapi saya tetap cuba,” katanya.