Sekilas
- Lebih 120 pempengaruh dari 20 negara bersaing dalam All Star Influencers Award 2026 dengan menghasilkan kandungan kreatif berkaitan pelancongan, makanan dan kebudayaan Malaysia.
- Peserta menjelajah pelbagai destinasi menarik di Malaysia seperti Johor, Langkawi dan Sabah untuk mencipta kandungan berdasarkan pengalaman sebenar sepanjang program ini.
- Kandungan peserta mencatat lebih 500 juta tontonan di platform digital, dengan pemenang utama bakal membawa pulang wang tunai AS$10,000 dan pakej percutian luar negara.
Persaingan All Star Influencers Award 2026 (ASIA2026) semakin sengit apabila lebih 120 pempengaruh dari 20 negara berentap merebut gelaran terbaik menerusi penghasilan kandungan kreatif sepanjang menjelajah Malaysia.
Bukan sekadar mengejar populariti di media sosial, peserta turut diuji dari segi kreativiti, konsistensi dan komitmen dalam menghasilkan kandungan berkaitan destinasi pelancongan, makanan serta kebudayaan tempatan.
Pengasas All Star Influencers Award, Dato Abd Rahman Soltan berkata, kehadiran ramai peserta baharu yang bersaing dengan pempengaruh berpengalaman menjadikan pemilihan pemenang tahun ini lebih mencabar.
“Kalau kita lihat tahun ini, persaingan memang lebih sengit. Ramai influencer baharu yang pertama kali menyertai ASIA dan mereka bersaing bersama influencer yang sudah berpengalaman.
“Yang menariknya, kualiti video dan komitmen yang diberikan juga sangat bagus. Jadi, untuk menentukan pemenang bagi setiap kategori bukan sesuatu yang mudah,” katanya.
Antara negara yang mengambil bahagian ialah Malaysia, Indonesia, Thailand, Jepun, Korea Selatan, China, India, Rusia, Arab Saudi, Vietnam dan Singapura.
Sebanyak 13 kategori dipertandingkan termasuk Best Gourmet Story Award, Best Storyteller Award, The People’s Choice Award, Best Culture Curator Award dan Best Comedy Maestro Award.
Menurut Abd Rahman, ASIA2026 turut membawa peserta meneroka pelbagai lokasi menarik di Malaysia bagi menghasilkan kandungan berdasarkan pengalaman sebenar.
Antara destinasi yang terlibat ialah Johor, Negeri Sembilan, Perak, Kuala Lumpur, Terengganu, Pahang, Langkawi, Pulau Pinang dan Perlis, sebelum perjalanan terakhir diteruskan ke Sabah.
“Program ini bukan sekadar pertandingan influencer. Kita mahu mereka mengenali Malaysia dengan lebih dekat melalui pengalaman sebenar, termasuk aktiviti, makanan dan kebudayaan yang ada di setiap destinasi.
“Semua pengalaman ini kemudiannya diterjemahkan dalam bentuk kandungan digital untuk diperkenalkan kepada pengikut mereka di seluruh dunia,” ujarnya.
Menariknya, kandungan yang dihasilkan peserta turut mendapat perhatian meluas apabila tanda pagar #AllStarInfluencersAward2026 dilaporkan mencatat lebih 500 juta tontonan di platform digital.
“Angka itu sangat positif dan kita menjangkakan jumlah tontonan digital akan terus meningkat dari semasa ke semasa sepanjang program ini berlangsung.
“Ini menunjukkan kandungan yang dihasilkan peserta bukan sahaja mendapat perhatian di Malaysia, tetapi turut membuka peluang untuk memperkenalkan destinasi dan pengalaman Malaysia kepada audiens antarabangsa,” katanya.
Dengan malam gala dijadualkan berlangsung pada 18 Oktober ini, perhatian kini terarah kepada peserta yang bakal dinobatkan sebagai pemenang utama.

Pemenang gelaran Best Influencers bakal membawa pulang wang tunai AS$10,000 selain pakej percutian ke luar negara.
“Masing-masing sudah memberikan yang terbaik. Jadi, pemilihan untuk setiap kategori, termasuk Best Influencers, dijangka sangat sengit.
“Kita tengok siapa yang benar-benar konsisten dari segi kandungan, kreativiti dan komitmen sepanjang program,” katanya.
ASIA2026 turut mendapat kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Tourism Malaysia bersempena kempen Visit Malaysia 2026.
Sejak diperkenalkan pada 2023, pertandingan ini pernah menyaksikan kemenangan Ahieb Reborn dari Indonesia, diikuti Saal Haerid pada 2024 dan Cindy dari Vietnam pada 2025.