Skip to main content

Festival

Lebih 50,000 Pengunjung Meriahkan Kelate Charity Festival 2025

kcf

Kelate Charity Festival (KCF) 2025 yang dianjurkan oleh Madoo Bee dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan dan HMS Maju Group melabuhkan tirainya baru-baru ini dengan kehadiran lebih 50,000 pengunjung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

Festival berlangsung meriah selama empat hari bermula 17 hingga 20 September lalu.

Advertisement

Penganjuran kali pertama ini membuktikan peranan besar KCF dalam meringankan beban golongan asnaf, memberi peluang kepada peniaga untuk menjana pendapatan, selain mengangkat seni budaya tempatan.

Dengan slogan 'Kasih Disemai, Rezeki Dikongsi, Budaya Kelate', Pengarah Eksekutif KCF, Muhammad Kamal Azmi Mohd Rasdin meluahkan rasa syukur atas sambutan yang melebihi jangkaan.

“Alhamdulillah, walaupun kali pertama dianjurkan, sasaran 50,000 pengunjung berjaya dicapai. Ramai yang puas hati, enjoy dan membawa pulang kenangan manis. VIP dan tetamu kenamaan juga memuji penganjuran festival ini.

"Malah peniaga yang menyertai KCF rata-rata mahu kembali tahun depan kerana melihat impaknya kepada jualan dan promosi produk,” katanya.

Selain membantu peniaga, KCF 2025 turut meraikan 500 asnaf dengan sumbangan wang tunai hasil tajaan Maybank, Bank Muamalat dan Agro Bank.

Kamal turut menyatakan hasrat untuk menambah jumlah penerima kepada 1,500 orang tahun depan.

“Matlamat utama festival ini adalah untuk menggerakkan semangat kebajikan dan kesatuan rakyat, menyampaikan mesej bahawa rezeki boleh dikongsi, kasih sayang boleh disemai dan budaya boleh terus dipelihara,” tambahnya.

Kamal yang juga pengasas Madoo Bee turut berkongsi keterujaan apabila masih ada syarikat berminat menaja meskipun slot penajaan sudah penuh sewaktu festival berlangsung.

“Kami sangat hargai minat mereka. Insya-Allah, kalau ada rezeki, kita akan buka peluang kerjasama tahun depan,” jelasnya.

KCF 2025 turut menampilkan barisan artis popular seperti Datuk Awie, Datuk Nash, Faizal Tahir, Senario, Caliph Buskers, Aris Ariwatan, Rahmad Mega, Naqiu, Halim Yazid, Bob Sentuhan, serta persembahan khas Ameng Spring.

Ameng menyifatkan KCF sebagai festival terbaik pernah dianjurkan di Kelantan.

“Festival ini sangat besar, meriah dan lengkap dengan elemen hiburan. Kehadiran artis popular memberi impak positif. Bagi saya, KCF 2025 paling dahsyat setakat ini,” katanya selepas mendendangkan lagu-lagu hits seperti Romantis, Bougainvilla dan Pesanan Buat Kekasih.

Selain persembahan artis, festival ini juga mencatat penyertaan luar biasa seramai 1,111 pendikir barat bersama 20 penyanyi dan tukang karut, serta 1,111 peserta selawat dalam program Selawat Perdana.

Acara turut diserikan dengan sesi ilmu bersama Ustazah Asma’ Husin dan artis jemputan, Angeline Tan.

KCF 2025 bukan sekadar hiburan, malah menawarkan lebih 100 gerai jualan serta pelbagai aktiviti keluarga termasuk persembahan Didi & Friends, pertandingan mewarna, catur dan push bike untuk kanak-kanak.

Program Kelate Charity Walk pula menjadi tumpuan apabila mendapat sokongan Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra yang berkenan turun padang berjalan bersama rakyat.

Must-Watch Video

Advertisement