Skip to main content

Hiburan

Legacy 30 Siti Nurhaliza Himpun Peminat Asia, Sumbang RM1 Juta Buat Yayasan Nurjiwa

Siti Nurhaliza

Datuk Seri Siti Nurhaliza dengan bangga menyumbangkan sebanyak RM1 juta daripada kutipan tiket Legacy 30 Siti Nurhaliza yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 10 Januari 2025 kepada Yayasan Nurjiwa.

Konsert julung kali yang dianjurkan bersempena dengan tiga dekad perjalanan seni Siti itu turut mencipta sejarah apabila dibanjiri oleh sekitar 70,000 peminat dari beberapa negara Asia termasuk Indonesia, Singapura dan Brunei Darul Salam.

Biduanita negara itu membuka tirai konsert yang cukup mega dengan muncul di atas kren dan menyampaikan Purnama Merindu.

Siti yang menawan dengan busana berwarna champange menyampaikan beberapa lagu lain termasuk Lakaran Kehidupan, Jerat Percintaan, Wajah Kekasih, Satu Cinta Dua Jiwa dan Percayalah serta Destinasi Cinta.

Siti, 47, turut menyifatkan  Legacy 30 Siti Nurhaliza sebagai malam keraian buat peminat beliau yang bergelar Siti Zoners.

“Masya Allah, senak perut saya melihat pemandangan ini. Malam ini saya akan memberikan kasih sayang kepada anda menerusi lagu-lagu saya yang memang anda dengar sejak sekolah.

“Terima kasih kerana penuhkan Stadium Nasional Bukit Jalil,” kata Siti.

Legacy 30 Siti Nurhaliza dibawakan oleh Cuckoo dengan penaja utama Affin Bank dan beberapa rakan strategik lain.

Must-Watch Video

Advertisement