Pempengaruh media sosial, Leona berpendapat bahawa filem Abah Saya Uncle Mike wajar mendapat sokongan ramai selepas menontonnya di pawagam.
Menerusi satu video di TikTok, Leona atau nama penuhnya, Kasih Iris Leona Azhar, 23, berpendapat jalan cerita filem tersebut memberi kesan mendalam kepadanya walaupun ada beberapa babak yang agak berat untuk ditonton.
Advertisement
Great movie you guys should watch
“Leona baru balik dari wayang tengok filem Melayu bertajuk Abah Saya Uncle Mike dan ia memang sangat bagus. Korang semua patut tengok dan beri sokongan sebab filem ini memang best.
“Cuma ada banyak babak penderaan yang agak berat dan saya sendiri tak biasa tengok. Jadi agak rasa tak selesa, tapi secara keseluruhannya filem ini sangat baik,” katanya.
Selain itu, Leona turut memuji barisan pelakon terutamanya watak anak-anak Uncle Mike, iaitu Rafei (Idan Aedan), Rasyid (Nor Merah) dan Rahman (Umar Syakur), yang membawa watak dengan penuh berkesan.
“Rasyid memang menjadi sebagai remaja memberontak sampai saya rasa geram sepanjang menonton. Rafei pula pandai sangat menangis, manakala Rahman pun hebat biarpun masih kecil,” jelasnya.
Bukan itu sahaja, Leona turut memuji lakonan watak utama Uncle Mike, iaitu Andy Teh yang dikatakan kacak dan berkarisma.
“Uncle Mike tu lowkey so hot. Maaf sebab fokus pada benda tu, tapi dia memang nampak sangat good looking dan so daddy. Tapi itu tak penting, yang penting dia memang berlakon dengan baik,” katanya sambil ketawa kecil.
Dalam pada itu, Leona menyeru agar orang ramai tidak melepaskan peluang menonton karya tersebut di pawagam sementara masih ditayangkan.
“Pergilah sokong filem tempatan sebab ia memang sebuah filem yang sangat bagus. Tapi TGV dan GSC, kenapa tayang dekat sesetengah pawagam sahaja dan hanya sekali sehari?
“Mungkin permintaan tak banyak, tapi korang semua kena cepat tengok sebelum filem ini keluar dari panggung,” katanya.
Filem Abah Saya Uncle Mike arahan Ezrie Ghazali sudah ditayangkan di pawagam seluruh negara 28 Ogos lalu.
Filem ini diangkat daripada kisah benar Michael Tong Wai Siong, atau lebih dikenali sebagai Uncle Mike, seorang lelaki yang membesarkan tiga anak Melayu yatim piatu sejak kecil, lengkap dengan kasih sayang dan bimbingan rohani termasuk penghormatan terhadap agama Islam.
Dedikasi Uncle Mike turut diiktiraf apabila beliau dianugerahkan Anugerah Maulidur Rasul 2024 oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, atas jasa dan pengorbanannya yang luar biasa.
Terbitan Astro Shaw bersama Etika Sdn. Bhd., Abah Saya Uncle Mike mengetengahkan tema kekeluargaan, perpaduan dan kasih sayang merentas bangsa. Ia dibintangi Andy Teh bersama pelakon muda berbakat seperti Idan Aedan, Nor Merah dan Umar Shakur, dan turut menggunakan tiga bahasa, Melayu, Mandarin dan Kantonis.
Sinopsis.
Rafei, anak sulung daripada tiga beradik yatim piatu, cuba melarikan diri dari rumah anak yatim yang kejam bersama adik-adiknya. Namun, mereka akhirnya terpisah. Dalam perjuangan menyatukan semula keluarga, mereka dipertemukan dengan Uncle Mike, lelaki Cina berhati emas yang mengubah takdir hidup mereka.
Filem ini menegaskan bahawa keluarga bukan sekadar pertalian darah, dan kasih sayang sejati tidak mengenal kaum mahupun agama.