Sekilas
- Cinta Laura berkongsi pengalaman kurang menyenangkan di lapangan terbang apabila layanan staf berubah selepas mereka mengenalinya sebagai selebriti.
- Dia menegaskan bahawa setiap pelanggan berhak mendapat layanan mesra dan hormat tanpa mengira status atau populariti.
- Walaupun kecewa, Cinta Laura tidak mendedahkan nama syarikat penerbangan tetapi menyeru agar semua orang dilayan dengan adil dan berperikemanusiaan.
Pelakon dan penyanyi Indonesia Cinta Laura meluahkan rasa kecewa terhadap layanan diterimanya di sebuah lapangan terbang sehingga menyifatkan pengalaman itu sebagai sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.
Menerusi beberapa hantaran di Instagram Story, Cinta Laura berkata dia jarang berkongsi rungutan secara terbuka namun kali ini merasakan perlu bersuara selepas melihat bagaimana layanan terhadap seseorang boleh berubah hanya kerana status dan identiti.
Menurutnya, kejadian bermula apabila namanya dipanggil melalui pembesar suara selepas pihak lapangan terbang mahu melakukan pemeriksaan terhadap bagasinya yang mengandungi ankle weights.
“Aku sempat bingung harus ke mana dan dilempar dari satu staf ke staf lain.
“Sampai akhirnya ada satu service agent yang jalan bareng aku setengah jalan tapi tanpa arahan yang jelas,” katanya.

Pelakon itu kemudian meminta bantuan staf tersebut bagi memastikan dia tidak terlepas penerbangan sepanjang proses pemeriksaan berlangsung, namun mendakwa respons diterima agak dingin.
“Her response was basically just, ‘walk to counter 20’,” tulisnya.
Bagaimanapun, situasi berubah sebaik sahaja staf berkenaan menyedari identitinya selepas dia membuka cermin mata.
“Baru selepas aku buka kacamata dan dia sedar aku siapa, attitude-nya langsung berubah total.
“Tiba-tiba jadi jauh lebih ramah, helpful dan attentive,” katanya lagi.
Menurut Cinta Laura, perkara yang paling mengecewakannya bukanlah kesulitan yang dialami tetapi hakikat bahawa layanan seseorang boleh berubah hanya kerana populariti atau status.
“Every customer deserves kindness and respect regardless of who they are.
“Fame, status, penampilan atau social standing seharusnya tak menentukan apakah seseorang layak diperlakukan dengan baik atau tidak,” tegasnya.
Dalam masa sama, Cinta Laura mengakui dirinya sedar tentang kelebihan dan layanan istimewa yang kadangkala diterima sebagai selebriti, namun itulah sebab utama dia merasakan perlu bersuara.
“Kalau perlakuan terhadap seseorang langsung berubah begitu mereka dianggap ‘penting’, lalu berapa banyak orang biasa yang diperlakukan dengan buruk setiap harinya?” katanya.
Walaupun kecewa, Cinta Laura memilih untuk tidak mendedahkan nama syarikat penerbangan terbabit secara terbuka, namun menegaskan semua manusia berhak dilayan dengan hormat dan ihsan tanpa mengira siapa mereka.