Pelakon popular Indonesia, Tissa Biani akui masih belum bersedia untuk mendirikan rumah tangga dengan kekasih hatinya, Dul Jaelani.
Jelas Tissa, meskipun sudah lama menjalin hubungan cinta, mereka berdua bersepakat untuk memberikan tumpuan kepada kerjaya masing-masing sebelum melangkah ke fasa yang lebih serius.
“Belum masanya untuk saya berkahwin kerana masih mahu memberikan fokus kepada kerjaya. Bukan juga kerana faktor umur yang masih muda, tetapi saya dan Dul memang mahu fokus dengan kerja dahulu,” katanya.
Dalam pada itu, pelakon filem Dilanjutkan Salah Disudahi Perih itu juga menegaskan dia tidak mahu terburu-buru dalam membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga.
Advertisement
“Bagi saya, tidak perlu terburu-buru untuk berkahwin. Buat masa ini saya hanya mahu fokus pada filem dan muzik,” ujarnya.
Tissa berkata demikian ketika ditemui selepas tayangan perdana filem terbaharunya Dilanjutkan Salah Disudahi Perih yang berlangsung di TGV KLCC, baru-baru ini.
Filem Dilanjutkan Salah Disudahi Perih, terbitan Horizon Film Entertainment, mula ditayangkan pada 2 Oktober lalu. Ia mengisahkan tentang pasangan muda yang bercerai talak tiga dan perlu mencari ‘cina buta’ untuk kembali bersama.
Naskhah bergenre komedi drama kekeluargaan itu turut dibintangi oleh Kevin Ardilova sebagai Darian, Mikha Tambayong sebagai Alfa, Tissa Biani sebagai Intan, dan Ibrahim Risyad sebagai Zainun.