Skip to main content

Hiburan

Linda Hashim Dakwa Beego Guna Alasan Kematian Elak Hadir Mahkamah - “Saya Ada Bukti Dia Tak Datang Pun Pengebumian Tu…”

bbb

Sekilas

  • Pelakon Linda Hashim mendakwa suaminya, Beego, sengaja menggunakan alasan kematian ibu saudara untuk elak hadir prosiding cerai di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan.
  • Linda mempunyai bukti Beego tidak hadir pengebumian seperti yang didakwa dan menegaskan suaminya melengahkan proses cerai kerana isu tuntutan nafkah dan mutaah.
  • Pasangan ini pernah bercerai dan rujuk beberapa kali sejak 2023, dan kini Linda hanya fokus mahu bercerai tanpa memikirkan tuntutan kewangan.

Pelakon Linda Hashim mendakwa suaminya, Beego sengaja menggunakan alasan kematian ibu saudara bagi mengelak hadir ke prosiding cerai dan pengesahan lafaz taklik di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan.

Menurut Linda atau nama sebenarnya Norhazlinda Hashim, 41, dia mempunyai bukti yang menunjukkan Beego tidak menghadiri pengebumian arwah ibu saudaranya seperti yang didakwa.

“Saya ada bukti dia (Beego) berada di mana kerana dia sendiri beritahu saya keberadaan dia. Dia tidak datang pun ke pengebumian arwah mak cik dia pada Isnin. Dia tidak hadir pun majlis kematian itu.

“Dia hanya menggunakan sahaja alasan ada kematian. Tapi tak apa, Allah Maha Melihat, Allah Maha Mendengar dan Allah Maha Mengetahui.

“Saya serah sepenuhnya pada Allah. Biar Allah sahaja yang atur segala perjalanan saya dekat sini hingga ke pengakhiran yang sangat-sangat baik, insya-Allah,” katanya ketika ditemui selepas prosiding tersebut.

Dalam masa sama, Linda mendakwa tindakan Beego melengahkan proses perceraian bukanlah disebabkan isu kehadiran semata-mata, sebaliknya berkait rapat dengan tuntutan kewangan melibatkan nafkah dan mutaah.

“Saya baru dapat tahu daripada peguam defendan kenapa dia tak nak lepaskan saya sebab dia nak tengok dulu fail nafkah dan mutaah saya. Apa-apa yang berkaitan dengan duit.

“Sekiranya dia bersetuju, dia akan cerai. Kalau dia tak bersetuju, mungkin dia akan gantung lagi saya atau ‘hold’ lagi kes perceraian ini,” dakwanya.

Tambah Linda, Beego juga didakwa menggunakan kedudukannya sebagai suami untuk menangguhkan perceraian sehingga tuntutan kewangan diperincikan.

“Nafkah idah, nafkah anak-anak, semua yang berkaitan dengan duit. Saya rasa dia risaukan perkara itu. Dia gunakan kuasa veto dia sebagai seorang suami untuk gantung kes selagi dia tak tengok berapa jumlah yang saya minta.

“Tapi buat masa sekarang, saya langsung tak fokus soal nafkah. Saya tak fikir pasal tuntutan atau duit. Saya cuma nak bercerai sahaja. Tapi dia pula sibuk dengan perkara itu,” katanya.

Menurut Linda, situasi itu menyebabkan pendirian Beego sering berubah-ubah dan tidak konsisten.

“Sebab itu sekejap-sekejap dia nak cerai, sekejap tak nak. Sekejap dia bersetuju, malah peguam saya pun dimaklumkan dia setuju nak bercerai pada hari tersebut, tapi tiba-tiba hari ini dia tak datang,” jelasnya.

Untuk rekod, rumah tangga Linda dan Beego atau nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 45, kembali menjadi perhatian ramai sejak Januari lalu apabila aktres itu memfailkan perceraian atas alasan tiada persefahaman.

Pasangan tersebut pernah bercerai pada 27 Mac 2023, namun kembali rujuk pada 9 April 2023 dan membatalkan tuntutan nafkah serta hak penjagaan tiga anak mereka.

Linda bagaimanapun mendakwa mereka kembali bercerai buat kali kedua selepas beberapa bulan rujuk sebelum kembali bersama tidak lama kemudian.

Linda dan Beego mendirikan rumah tangga pada Jun 2013 dan dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Jelita Clarissa, 11; Anggun Cassandra, 10; dan Indah Camelia, 6 tahun.

Must-Watch Video

Advertisement