Skip to main content

Hiburan

Linda Hashim Harap Segera Selesai – “Saya Tak Sabar Tunggu Pengesahan”

fdfdvf

Sekilas

  • Pelakon Linda Hashim hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan untuk prosiding pengesahan taklik terhadap suaminya, Beego.
  • Linda berharap kes ini dapat diselesaikan segera selepas mendakwa suaminya melanggar taklik yang telah dipersetujui.
  • Rumah tangga mereka yang bermula sejak 2013 kini bergolak dengan beberapa kali perceraian dan rujuk, serta mempunyai tiga anak bersama.

Pelakon Linda Hashim hadir ke mahkamah bagi prosiding pengesahan taklik yang difailkannya terhadap suaminya, Beego, hari ini.

Memetik laporan OhBulan, Linda atau nama sebenarnya Norhazlinda Hashim, 42, menyerahkan keputusan kepada hakim ekoran video taklik yang didakwa sudah dilanggar oleh suaminya.

Tambah Linda, dia berharap agar segalanya dapat diselesaikan segera.

“Hari ini adalah sambungan kes sebutan taklik sebab sebelum ini defendan tak datang. Jadi dia datang hari ini, kita tak tahu apa lagi yang akan jadi.

“Pada saya ada perkara yang sukar pada video taklik dan hanya hakim saja yang boleh sahkan video itu tapi yang pasti taklik itu dia sudah langgar.

“Kalau dikatakan ayat yang dilafazkan tidak sah, terpaksa diteruskan dengan Seksyen 47 iaitu tuntutan cerai ekoran tiada persefahaman. Hari ini harapnya selesai, saya tak sabar tunggu pengesahan,” ujarnya.

Linda berkata demikian ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, sebentar tadi.

Linda hadir bersama rakan-rakan yang menjadi tulang belakang dari awal kemelut rumahtangganya.

Manakala, Beego enggan mengulas panjang dan hanya berharap agar semuanya berjalan lancar.

Dalam masa sama, Linda dan Beego sempat menyapa antara satu sama lain sebelum ke dewan bicara.

Sejak Januari tahun lalu, rumah tangga Linda dan Beego atau nama sebenar Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 45, menjadi perhatian ramai apabila aktres berkenaan memfailkan perceraian dengan alasan tiada persefahaman.

Mereka pernah bercerai pada 27 Mac 2023, namun, mencapai kata sepakat untuk rujuk pada 9 April 2023 dan membatalkan tuntutan nafkah dan hak penjagaan tiga anak mereka.

Linda bagaimanapun mendakwa mereka kemudiannya bercerai buat kali kedua selepas beberapa bulan rujuk, namun kembali bersama tidak lama selepas itu.

Beego dan Linda mendirikan rumah tangga pada Jun 2013 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Jelita Clarissa, 11, Anggun Cassandra, 10, dan Indah Camelia, 6 tahun.

Sumber: Ohbulan

 

Must-Watch Video

Advertisement